SUKUK Prihatin patuh syariah bernilai RM500 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dilancarkan hari ini, yang juga sukuk digital pertama Malaysia.

Majlis perasmian Sukuk Prihatin di Kementerian Kewangan di Putrajaya disaksikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Muhyiddin dalam ucapannya berkata, terbitan sukuk itu adalah hasil permintaan pelbagai pihak untuk turut membantu dalam usaha pemulihan negara, yang mana ia boleh dilanggan oleh orang awam dan sektor korporat secara dalam talian.

“Saya terharu kerana kerajaan telah menerima tawaran daripada rakyat yang jujur dan ikhlas yang ingin membantu kerajaan untuk menyokong pemulihan ekonomi negara,” katanya pada majlis perasmian sukuk itu.

Beliau berkata, hasil terbitan Sukuk Prihatin akan disalurkan kepada beberapa inisiatif yang sudah dikenal pasti termasuk usaha meningkatkan kesalinghubungan kepada sekolah-sekolah luar bandar, menampung geran penyelidikan penyakit-penyakit berjangkit di samping membiayai perusahaan kecil dan sederhana serta mikro terutama usahawan wanita.

Pada majlis perasmian tersebut, Seri Paduka berkenan menjadi pelabur terawal untuk sukuk berkenaan.