Kuala Lumpur: Kadar pemulihan ekonomi ketika ini berada pada landasan betul dan momentum pemulihan diharap dapat dikekalkan di dalam Belanjawan 2021 yang bakal diumumkan pada November ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ketika perjumpaan bersama pihak berkepentingan pelbagai industri, isu yang sering dibangkitkan adalah sokongan berterusan kerajaan buat perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Antara fokus yang diketengahkan adalah memastikan ketersediaan untuk beroperasi dalam norma baharu serta menjana permintaan daripada pengguna dan pelabur bukan saja di dalam, tetapi juga di luar negara.

“Kerajaan juga menerima pelbagai cadangan dan sedang mempertimbangkan semua bagi merangka Belanjawan 2021 yang berpaksikan rakyat, perniagaan dan ekonomi.

“Ini demi memastikan kesinambungan pendekatan yang selaras dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

“Sesungguhnya kerajaan serius dalam mengekalkan momentum pemulihan ekonomi pada 2020 dan melonjakkannya pada 2021. Moga kita dapat bersama-sama berganding bahu dalam perjalanan ini,” katanya dalam Laporan Laksana Ke-24 pelaksanaan Prihatin dan Penjana di sini, semalam.

Menurutnya, sebagaimana yang dinyatakan dalam laporan Laksana sebelum ini, beliau meyakinkan ekonomi negara sedang melihatkan penambahbaikan dari pelbagai perspektif dan indikator termasuk penurunan angka pengangguran, peningkatan indeks perdagangan runcit dan borong, peningkatan pelaburan asing langsung, peningkatan produktiviti dalam industri pembuatan dan pembinaan serta beberapa faktor lagi.

“Antara faktor yang menyumbang kepada pemulihan ekonomi adalah pelaksanaan bantuan dan langkah di bawah Prihatin dan Penjana, tetapi tidak dilupakan usaha rakyat Malaysia dan peniaga yang mematuhi amalan prosedur operasi standard (SOP). yang sudah ditetapkan.

“Selagi vaksin belum ditemui, pematuhan kepada SOP adalah penting dalam memastikan kesinambungan urusan harian dan perniagaan.

“Saya berterima kasih kepada rakyat dan peniaga yang memainkan peranan yang penting ini dan moga usaha diteruskan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19