PENGENDALI pakej ibadah haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd menjangkakan sekurang-kurangnya 40,000 jemaah umrah diuruskannya bagi musim 1442H sekiranya krisis pandemik Covid-19 di Malaysia dan Arab Saudi beransur pulih menjelang Oktober depan.

Pengarah dan Penasihat Undang-Undangnya, Ida Riswana Idris berkata, sasaran itu bagaimanapun disokong oleh pembukaan sempadan kedua-dua negara untuk tujuan ibadah berkenaan disertai jumlah kuota serta prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan kerajaan Arab Saudi kelak.

“Jika benar maklumat awal yang kami terima mengatakan kemungkinan Arab Saudi akan kembali membuka sempadan dan menerima jemaah umrah bermula 1 Rabiul Awal (18 Oktober) nanti, mungkin angka ini dapat dicapai.

“Namun ia semestinya tertakluk kepada pembukaan sempadan kita untuk membenarkan jemaah keluar menunaikan ibadah ini di sana selain apa saja SOP yang bakal dikeluarkan,” katanya.

Menurut Ida Riswana, ketika ini hampir 13,000 bakal jemaah membabitkan 212 kumpulan terpaksa menunda perjalanan mereka selepas Arab Saudi hanya menerima kumpulan jemaah umrah terakhir bagi musim 1441H pada 27 Februari lalu.

Jelasnya, pada waktu itu 32,000 jemaah berjaya diuruskan pihaknya dalam tempoh lima bulan pertama musim umrah 1441H sebelum sempadan ditutup.

“Walaupun kami tidak tahu tarikh sebenar sempadan kedua-dua negara akan dibuka, permohonan untuk ibadah ini tidak putus mungkin disebabkan kebiasaannya pelanggan merancang setahun lebih awal untuk perjalanan (umrah),” katanya dalam temu bual bersama Harian Metro.

“Apa lagi selepas Kempen Sifar Bayaran Pendahuluan dilancarkan baru-baru ini dengan pendaftaran dimudahkan secara dalam talian, hampir 6,000 bakal jemaah sudah mendaftar untuk menunaikan umrah menjelang musim 1442H.

“Melihat kepada angka sedia ada yang menggalakkan ini, kami yakin ia boleh meningkat lagi apabila berita positif mengenai pembukaan sempadan diumumkan secara rasmi kelak,” katanya dalam satu temubual khas bersama Harian Metro., baru-baru ini.

Katanya, sehingga kini kira-kira RM9 juta sudah dibayar pihaknya kepada hotel di Arab Saudi selain RM40 juta lagi dijelaskan kepada syarikat penerbangan yang sepatutnya dijadualkan membawa jemaah umrahnya ke Tanah Suci antara akhir Februari hingga Jun lalu.

“Syarikat penerbangan dan hotel sudah memberi jaminan penginapan dan tiket penerbangan mereka tidak hangus sebaliknya akan dipegang sehingga mereka dibenarkan terbang ke sana,” katanya.

Dalam pada itu, Ida Riswana berkata, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, pihaknya memanfaatkan tempoh berkenaan untuk memperkemas operasi syarikat ke arah menyediakan perkhidmatan lebih baik secara dalam talian.

Justeru itu beliau berharap sekurang-kurangnya proses pendaftaran menunaikan umrah dapat dilakukan sepenuhnya secara dalam talian menjelang tahun depan.

“Proses pengurusan umrah ini banyak membabitkan manusia seperti ejen jadi agak sukar untuk mendigitalkannya secara 100 peratus.

“Tetapi kami fikir cara ini lebih mudah untuk semua. Mungkin ada pelanggan yang masih perlukan interaksi langsung dengan kami jadi perkhidmatan ini akan tetap disediakan cuma urusan pendaftaran akan difokuskan secara dalam talian,” katanya.