STARBUCKS Malaysia komited menyokong petugas barisan hadapan yang berdepan pandemik Covid-19 dengan menghidangkan kopi di hospital, balai polis dan pusat pemeriksaan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Lebih dari 1,000 cawan kopi diagihkan kepada Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Jabatan Kesihatan Lembah Pantai, Jabatan Kesihatan Titiwangsa, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan beberapa klinik di seluruh Kajang dan Bangi serta pasukan petugas Covid-19 Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Food Bhd dan Pengarah Urusan Starbucks Malaysia dan Brunei, Sydney Quays berkata, syarikatnya sentiasa mencari cara untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan menjaga kesejahteraan rakan kongsi serta pelanggannya.

“Sejak pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 16 Mac lalu, Starbucks menekankan kepada kebersihan dan langkah keselamatan di kedai.

“Dalam tempoh PKP, Starbucks menghentikan penggunaan semua tempat duduk kafe dan perkhidmatan cawan peribadi serta bagi kesenangan pelanggan, pandu lalu dan servis penghantar makanan masih beroperasi.

“Sejak 4 Mei dan seterusnya, kami menjalankan stesen pemeriksaan suhu kepada pelanggan dan pekerja sebelum memasuki premis di semua cawangan seluruh Malaysia,” katanya.

Katanya, sebagai kesinambungan dari kesedaran sosial, Starbucks Malaysia menawarkan promosi beli satu percuma satu dan potongan 30 peratus produknya melalui pembelian pandu lalu dan bawa pulang.

Di samping itu, The Starbucks Foundation akan menyumbangkan AS$1 juta kepada Dana Tindak Balas Solidariti Covid-19 dalam menyokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).