NOURS Venture Sdn Bhd (Nour’s) menjadi pengeluar pertama di negara ini yang memperkenalkan produk snek berasaskan kulit ayam di bawah jenama Chickin.

Pengasas Bersamanya, Faiz Hilmy berkata, pemilihan snek kulit ayam ini berikutan ada mendapat permintaan tinggi untuk kudapan jenis ini.

“Snek kulit ayam Chickin mempunyai kualiti dan standard tersendiri.

“Chickin diproses dengan teliti supaya snek yang dihasilkan tidak langsung bercampur dengan lemak. Kami memastikan hanya kulit ayam berkualiti sahaja diambil menjadi snek.

“Walaupun ada golongan yang agak paranoid dengan kulit ayam, namun kulit ayam tidak salah untuk dimakan.

“Malah, kami membuat kajian dan pembangunan (R&D) tiga bulan sebelum mengeluarkan snek ini di pasaran,” katanya kepada Bisnes Metro.

Faiz berkata, idea menghasilkan snek kulit ayam ini bermula apabila dia dan rakannya terkesan kerana kehilangan pekerjaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Pengasas Bersamanya, Syaira Sadle berkata, pihaknya komited menjadi pengeluar snek yang unik dan akan memperkenalkan lebih banyak produk pada masa akan datang.