Kuala Lumpur: Google memperluaskan senarai membeli-belah percumanya kepada peniaga di seluruh rantau Asia Pasifik (APAC) di tab Google Shopping mulai pertengahan Oktober ini.

Dalam kenyataan hari ini, Google berkata, peruncit berpeluang didedahkan kepada jutaan pembeli dalam talian secara percuma yang menyenaraikan lebih banyak produk di tab Google Shopping, manakala pengiklan kini boleh ditingkatkan dengan senarai percuma itu.

Katanya pengembangan itu bertujuan membantu peruncit mengharungi persekitaran ekonomi yang mencabar di tengah-tengah pandemik Covid-19 berikutan lebih banyak perniagaan di rantau ini beralih kepada e-dagang.

“Kami telah membuat perubahan ini lebih awal di Amerika Syarikat dan peruncit yang membuat senarai dan iklan percuma menerima purata tontonan dua kali atau lebih dan menerima kunjungan melebihi 50 peratus. Perniagaan bersaiz kecil dan sederhana menyaksikan peningkatan terbesar.

“Kami juga telah membuat langkah seumpama ini di India dan Indonesia sejak 2019,” katanya.

Google juga yakin inilah masanya berlaku perubahan besar dari segi kaedah orang ramai berbelanja dan menjual produk di seluruh APAC berikutan e-dagang berkembang pantas di Asia Tenggara meskipun sebelum dilanda pandemik, dengan ekonomi internet serantau telah mencecah AS$100 bilion tahun lepas dan jangkaan sebanyak AS$300 bilion menjelang 2025.

Bagi membantu peniaga menyesuaikan diri kepada perubahan itu, Google menawarkan latihan kemahiran menerusi ‘Grow with Google’ di samping berkongsi penyelidikan dan pandangan untuk memaklumkan mengenai keputusan perniagaan mereka.

“Kita telah melancarkan buku dan siri webinar mengenai kaedah menguruskan kedai digital secara lebih baik semasa bekerjasama dengan rakan kongsi seperti Shopify, Haravan di Vietnam, Shopline di Taiwan dan Hong Kong dan LnwShop di Thailand,” katanya.