SEKTOR runcit dijangka pulih pada separuh kedua 2020 didorong oleh penggunaan tempatan dengan jualan dijangka meningkat kepada 80 peratus daripada paras sebelum Covid-19 pada suku keempat daripada 70 peratus pada masa ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, ada tanda pemulihan berikutan ekonomi dibuka semula mencatatkan angka pengangguran lebih baik dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan.

Menurut jabatan itu, kadar pengangguran Malaysia pada Jun 2020 merosot bulan ke bulan kepada 4.9 peratus daripada paras tertinggi sebanyak 5.3 peratus pada Mei 2020 berikutan lebih banyak sektor termasuk industri perkhidmatan dibuka semula untuk memulihkan ekonomi negara selain membendung pandemik Covid-19.

“Tertakluk kepada sekatan pergerakan kedua, sektor itu akan kembali normal dengan penggunaan tempatan menjadi pemacu pertumbuhan kepada negara,” katanya selepas sesi tertutup dengan peruncit di pusat beli-belah Sunway Pyramid, kelmarin.

Mustapa berkata, penting bagi rakyat Malaysia untuk menyokong produk tempatan berikutan industri pelancongan masih ditutup.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19