MEDIA Prima Berhad (Media Prima) merekodkan peningkatan perolehan sebanyak 9.0 peratus bagi segmen digitalnya kepada RM18.9 juta bagi suku pertama kewangan berakhir 31 Mac 2020.

Peningkatan itu disokong pertumbuhan iklan digital dengan kadar 12 peratus berbanding tempoh perbandingan.

Bagi tempoh dalam kajian, Media Prima terus kekal sebagai pilihan paling popular untuk kandungan mudah alih di Malaysia dan mempunyai pencapaian audiens digital ketiga tertinggi selepas Google dan Facebook.

Perolehan perdagangan kumpulan meningkat sebanyak 24 peratus bagi suku pertama ini didorong oleh CJ Wow Shop, segmen beli-belah di rumah Media Prima yang mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 18 peratus dan peningkatan jumlah pelanggan sebanyak 27 peratus.

CJ Wow Shop juga sudah memperluaskan capaian dalam talian melalui laman web dan platform mudah alihnya yang menyumbang lebih 40 peratus daripada jumlah jualan bagi suku pertama 2020.

Sementara, perolehan tradisional kumpulan menyusut sebanyak 7.0 peratus disebabkan perbelanjaan berhemat oleh pengiklan.

Bagaimanapun, perolehan edaran surat khabar meningkat sebanyak 12 peratus bagi tempoh tiga bulan dalam kajian yang mencerminkan hasil positif daripada langkah yang diambil untuk meningkatkan kecekapan dalam segmen ini.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Syed Hussian Aljunid (gambar) berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penyebaran Covid-19 memberi impak kepada beberapa perniagaan.

“Biarpun Media Prima antara perkhidmatan penting yang boleh beroperasi semasa PKP, perniagaan kami tidak terlepas daripada impak pembelian iklan yang rendah dalam masa yang tidak menentu ini.

“Namun, kami terus memanfaatkan inisiatif kesinambungan perniagaan yang proaktif dan keupayaan digital untuk mengurangkan impak Covid-19.

“Kami akan terus mengkaji semula pelan berkenaan untuk memastikan kelestarian kumpulan dalam waktu yang mencabar ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Media Prima juga sudah memulakan dua perniagaan baharunya, Media Prima Omnia Sdn Bhd (Omnia) dan Print Towers Sdn Bhd (Print Towers) untuk menjana perolehan baharu dan mengoptimumkan kapasiti sedia ada dalam kumpulan.

Omnia menerajui fungsi jualan pengiklanan Kumpulan manakala Print Towers yang terhasil daripada unit Produksi dan Pengedaran di The New Straits Times Press, pula akan beroperasi sebagai pencetak kendiri (standalone printer).

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, fasa transformasi seterusnya membabitkan peningkatan kecekapan kos dan operasi dalam menyediakan penyelesaian yang lebih efektif menerusi platform media.

“Kami percaya prestasi suku pertama menunjukkan bahawa Media Prima menuju ke arah betul untuk menjadi syarikat yang lebih berdaya tahan,” katanya.