PMB Tijari Bhd, anak syarikat Pelaburan Mara Bhd (PMB) menyasarkan untuk menyalurkan pembiayaan sebanyak RM150 juta bagi membantu sehingga 150 usahawan berpotensi pada tahun ini berbanding RM210 juta pada tahun lalu.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PMB Tijari Bhd, Norati Ibrahim berkata, pengurangan sasaran itu disebabkan ramai usahawan mengalami kekurangan projek serta yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 pada tahun lalu.

“Pandemik itu menyebabkan (jumlah) projek dikeluarkan berkurangan dan tertangguh dan akibatnya kami hanya dapat membantu sedikit usahawan pada tahun lalu.

“Oleh kerana 2021 adalah (tempoh) pasca pandemik, kami terpaksa kurangkan sedikit sasaran pembiayaan iaitu RM150 juta merangkumi 100 hingga 150 usahawan,” katanya pada majlis menandatangani surat tawaran pembiayaan itu yang membabitkan lima usahawan di sini, semalam.

Bagi tempoh September 2014 sehingga kini, PMB Tijari membiayai hampir 210 usahawan daripada pelbagai sektor yang membabitkan pembiayaan hampir RM300 juta dengan had maksimum pembiayaan adalah RM5 juta.

Menurut Norati, sejak Januari lalu, PMB Tijari meluluskan pembiayaan sebanyak RM40 juta kepada 12 usahawan termasuk lima usahawan berkenaan dengan nilai RM18 juta.

“Semua syarikat hari ini adalah penerima pembiayaan pertama kali. Ini sejajar dengan matlamat kami untuk membantu usahawan berpotensi mendapat pembiayaan kewangan menerusi produk pembiayaan yang ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata, PMB Tijari menyasarkan syarikat yang mempunyai kepakaran, pengalaman dan kebolehan namun tidak berupaya memperoleh pinjaman daripada bank atau insitusi kewangan lain.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Azizah Mohd Dun menyifatkan bantuan pembiayaan untuk lima usahawan itu sebagai tanda sokongan kepada yang lain bagi mendapatkan kemudahan berkenaan.