KOPERASI Sahabat Amanah Ikhtiar Berhad (Koop Sahabat) menyasarkan untuk mengendalikan 42 cawangan Sahabat Ar-Rahnu menjelang 2024.

Bendahari Koop Sahabat, Hartati Abdul Jalil berkata, pada masa ini, koperasi itu mempunyai 17 cawangan, semuanya di Semenanjung.

“Dua cawangan baharu iaitu di Bachok, Kelantan dan Ayer Keroh, Melaka dijangka mula beroperasi pada September dan Oktober depan.

“Kami juga bercadang untuk membuka cawangan di Sabah dan Sarawak pada tahun depan,” katanya selepas perasmian cawangan Sahabat Ar-Rahnu ke-17 di Port Dickson, semalam.

Ia dirasmikan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Persekutuan, Amran Ab Kadir.

Hartati berkata, pembukaan Sahabat Ar-Rahnu itu, yang pertama di Negeri Sembilan adalah berikutan sentimen semasa harga emas yang sedang meningkat naik selain permintaan tinggi terhadap pajak gadai patuh syariah.