AEON Retail Malaysia melancarkan Kempen Berkat Ramadan – AEON Bersamamu bermula sehingga 24 Mei 2020 bertujuan untuk membantu mereka yang kehilangan pekerjaan akibat krisis ekonomi yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

AEON menyasarkan sebahagian daripada kutipan jualan ayam sepanjang bulan Ramadan ini untuk tabung kebajikan Yayasan AEON Malaysia.

Tabung ini akan digunakan untuk membeli motosikal yang akan diberikan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan dan mereka akan diambil bekerja sebagai penghantar barangan di premis-premis AEON di seluruh negara.

Malah, motosikal itu akan menjadi milik mereka sepenuhnya selepas setahun perkhidmatan tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif AEON Retail, Shafie Shamsuddin berkata, pandemik Covid-19 mengubah kehidupan penduduk dunia secara mendadak menyebabkan banyak syarikat terkesan dan ramai orang kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba.

“Menerusi kempen ini, RM1 daripada setiap ekor ayam yang terjual di rangkaian pasar raya AEON di seluruh negara akan didermakan kepada Yayasan AEON Malaysia untuk membantu mereka yang kehilangan pekerjaan.

“Kami menyasarkan jualan sejuta ekor ayam dan sebagai tanda komitmen AEON Retail Malaysia, kami akan meletakkan RM100,000 sebagai dana permulaan untuk tabung kebajikan Yayasan AEON Malaysia,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, pihaknya akan bekerjasama bersama Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memastikan mereka yang terpilih sebagai penghantar barangan AEON mendapat latihan dan perlindungan sebelum memulakan tugas.

“Kami juga bercadang untuk bekerjasama dengan beberapa rakan kongsi dan penaja lain untuk menjaya dan merealisasikan hasrat murni ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19