FATISHA Agro Farm (M) Sdn Bhd, pemilik ladang cendawan terbesar di Pantai Timur menyasarkan pengeluaran cendawan tiram kelabu dan kukur (dikenali juga sebagai kulat sisir) yang segar sebanyak 500 kilogram (kg) sehari atau 15 tan setiap bulan menjelang Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rusila Yusof berkata, buat masa ini pengeluaran cendawan segar hanya 150kg sehari yang menjana jualan bernilai kira-kira RM50,000 sebulan.

“Fatisha Agro Farm bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) untuk program mentor menti yang melibatkan 12 peserta daripada kalangan keluarga B40 yang tinggal di sekitar kawasan pentadbiran Ketengah.

“Melalui kerjasama itu, kami akan membimbing peserta untuk menjadi usahawan cendawan dan membantu memasarkan hasil tanaman mereka untuk pasaran tempatan,” katanya ketika ditemui di ladang cendawan Fatisha Agro di Al Muktafi Billah Shah (AMBS) di sini.

Syarikat berkenaan mempunyai 11 kakitangan ladang untuk memproses cendawan yang ditanam di 12 rumah cendawan. Semua rumah cendawan ini boleh memuatkan 180,000 bongkah cendawan pada satu-satu masa.

Beliau berkata, permintaan terhadap cendawan segar sangat tinggi dan pengeluaran di ladang itu belum mencukupi untuk memenuhi kehendak pasaran di Terengganu.

Buat masa ini, Fatisha Agro Farm hanya mampu membekalkan cendawan untuk pasaran Kuala Terengganu dan Kemaman sahaja, katanya.

“Sebab itu, kami turut menjual beg cendawan serta benih berkualiti kepada ribuan usahawan di seluruh negara agar mereka turut memperoleh pendapatan lumayan melalui tanaman ini,” katanya yang pernah menerbitkan buku untuk usahawan baharu dalam industri tanaman itu.

Rusila, pemegang sarjana sains kimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, beliau memulakan perniagaan cendawan pada 2007 selepas gagal mendapatkan kerja yang sesuai mengikut kelulusannya.

“Melihat kesungguhan saya dalam berniaga, akhirnya kakak bersetuju beri modal perniagaan sebanyak RM20,000 dan sejak itu saya mula menanam cendawan di belakang rumah sewa di Sungai Ramal Dalam, Selangor dan kemudian balik ke Kemaman untuk membuka ladang baharu,” katanya.