KualaLumpur: Selangor menyediakan platform rangkaian maya, Hab Perniagaan Selangor (SBH) untuk membantu meningkatkan ekonomi peniaga di negeri itu dan mengawal penguncupan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Inisiatif digitalisasi itu dilaksanakan kerajaan negeri melalui agensi penggalakan pelaburannya, Invest Selangor yang menyasarkan penyertaan kira-kira 3,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, SBH menjadi saluran komunikasi kepada peniaga untuk mempromosikan produk selain membina jaringan perniagaan dengan pihak berkepentingan lain terutama dari negara luar walaupun terdapat sekatan pergerakan akibat Covid-19.

“Inisiatif itu menunjukkan kita sentiasa berfikiran maju untuk memastikan PKS menyesuaikan diri dengan norma baharu dalam berniaga.

“Kita tidak boleh menunggu hingga wabak berakhir yang sudah pasti akan menjejaskan perniagaan mereka malah ekonomi negara.

“Justeru, kita melakukan pelbagai perancangan bagi meningkatkan rantaian perniagaan dan membawa golongan PKS mencari jalan keluar dengan menyediakan platform SBH ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan SBH di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Datuk Hasan Azhari Idris.

SBH terdiri daripada tiga komponen utama yang merangkumi Program Promosi Pelaburan Invest Selangor, Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor Virtual serta Hab Virtual Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC).

Mengulas lanjut, Teng berkata, SBH memberi peluang yang baik untuk membolehkan Selangor mencapai wawasan sebagai negeri pintar menjelang 2025.

Menurutnya, sekatan rentas sempadan yang dilaksanakan kerajaan susulan Covid-19 memaksa syarikat di Malaysia termasuk Invest Selangor melihat peluang lain dan beroperasi secara berbeza daripada kebiasaan lama.

“Kita harus menerima kenyataan wabak berkenaan memberi kesan kepada ekonomi Asean dan seluruh dunia. Namun, kerajaan negeri Selangor terus memberi kemudahan dan bantuan kepada syarikat di Selangor.

“Yakinlah lebih banyak inisiatif yang dikhaskan untuk tujuan ini akan diperkenalkan untuk faedah perniagaan di Selangor,” katanya.

Sementara itu, Hasan Azhari berkata, SBH dapat mempercepatkan penghijrahan aktiviti yang biasanya dilakukan secara fizikal kepada maya.

“Kami akan terus menambah baik matlamat dan strategi agar sejajar wawasan kerajaan negeri serta menjadi landasan perniagaan ke Asean,” katanya.