PENGUSAHA restoran De Dapoor By Chef Megat, Jaguh 2020 Sdn Bhd optimis untuk merekodkan jumlah pengeluaran sekurang-kurangnya 20,000 botol sehari bagi empat sos aneka jenis miliknya menjelang pertengahan tahun depan.

  Pengarahnya, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, selepas memulakan operasi restoran di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Ogos lalu, dapur pusat (central kitchen) restoran itu turut dipersiapkan sebagai tempat pengeluaran empat sos berkenaan.

Menggunakan jenama De Dapoor Sos Viralicious, beliau berkata, ketika ini kira-kira 400 botol mampu dihasilkan setiap hari bagi setiap jenis sos.

 “Empat sos ini kini mula dipasarkan secara berperingkat oleh pengedar De Dapoor Sos Viralicious melalui ejen. Bagi menjayakan sasaran pengeluaran 20,000 botol sehari, kami sedang berusaha menambah kakitangan dari semasa ke semasa selain beberapa peralatan berkaitan yang berkapasiti lebih besar,” katanya kepada  Bisnes Metro.

  Mirnawan berkata, secara keseluruhan terdapat tujuh jenis sos ditawarkan di restoran.

Bagaimanapun, setakat ini, hanya empat daripadanya dipilih untuk jualan berasingan menggunakan botol bersaiz 270 gram itu.

  Ini kerana, kata beliau, keempat-empat jenis itu mendapat permintaan menggalakkan.

  “Di restoran, kami menawarkan tujuh jenis sos sebagai pilihan hidangan bersama menu utama kita iaitu ikan tilapia meliputi Sos Chili Dip, Sos Nyonya Spesial, Sos Tiga Rasa, Sos Limau Thai, Pais Tempoyak Petai, Sos Soya Halia dan Sos Masam Manis.

  “Namun untuk Pais Tempoyak Petai, Sos Soya Halia dan Sos Masam Manis, kami berpendapat masih banyak perkara perlu diperhalusi untuk penjualan dalam botol berbanding terus dihidangkan kepada pelanggan seperti di restoran.

  “Misalnya pais tempoyak, faktor ketahanan perlu diambil kira kerana ia menggunakan durian yang kita khuatir akan masam. Situasi ini tentunya dapat dielak jika kita hidangkan terus di restoran,” katanya.

  Menurut Mirnawan, sasaran yang diletakkan mungkin kelihatan agak tinggi, namun diyakini mampu dicapai berdasarkan kelebihan produk.

  “Seawal ketika restoran ingin diasaskan, kita terlebih dulu memulakan langkah menternak sendiri ikan tilapia yang ingin dijadikan menu utama restoran.

  “Malah, kita juga mempunyai kebun yang menjadi sumber kepada sayuran yang dihidangkan di restoran seperti kangkung dan kailan.

  “Ini termasuk cili yang bukan saja dipetik segar untuk kegunaan dalam masakan malah cili ini yang kami gunakan untuk penghasilan semua sos kami,” katanya.

  Mengulas perancangan untuk restoran, Mirnawan berkata, dua cawangan dijangka dibuka sebelum akhir tahun ini.

  “Jika keadaan ekonomi juga semakin baik dengan perniagaan juga berkembang baik seperti dirancang, kita harap sekurang-kurangnya 20 cawangan restoran beroperasi di seluruh negara menjelang 2023,” tambahnya.