AIR minuman di bawah jenama Zime meletakkan sasaran pengeluaran hingga 12,000 botol sebulan khususnya dengan tawaran pelbagai jenis perisa buah-buahan.

Pengasasnya, Mohd Abu Dzar Ramli berkata, ketika ini pihaknya mampu menghasilkan 3,000 botol daripada setiap jenis buah-buahan dalam tempoh sebulan.

“Walaupun baru berjinak-jinak dengan bidang ini, saya yakin dapat menyediakan banyak pilihan minuman buah-buahan kepada pelanggan.

“Sehingga kini, minuman di bawah jenama Zime ini menyediakan pilihan perisa epal, mangga, laici dan limau nipis yang diperah seterusnya dibotolkan selepas siap semua proses bancuhan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, berbekalkan kemahiran melalui latihan daripada beberapa institusi, beliau mendapat idea untuk menghasilkan jus minuman berkhasiat dan memasarkannya secara komersial.

“Ketika ini, semua kerja memproses dijalankan secara manual dan kerana itu hanya 3,000 botol daripada setiap jenis buah-buahan dapat dihasilkan dalam tempoh sebulan.

“Buat masa ini saya hanya menghantar air minuman yang diusahakan ini di kedai runcit sekitar bandar Kluang serta daerah berdekatan,” katanya.

Katanya, tumpuan utamanya ketika ini untuk memenuhi permintaan sedia ada di bandar ini terlebih dahulu sebelum membuat perancangan menyebar luaskan pasaran ke peringkat lebih besar seperti di pasar raya besar di negeri ini.

“Sebagai langkah permulaan, saya mungkin akan melantik ejen jualan agar perusahaan yang dimulakan sejak dua tahun lalu ini dapat dikembangkan seperti air minuman berjenama yang sudah dikenali orang ramai.

“Selain itu, untuk memperkenalkan minuman ini kepada orang ramai, saya sendiri turun padang dengan membuat jualan terus menggunakan kios di pasar raya sekitar bandar ini,” katanya.