Kuala Lumpur: Seramai 100,000 usahawan disasarkan menduduki Ujian Psikometrik Usahawan Nasional (MyNEPT) tahun ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurutnya, MyNEPT dibangunkan Institusi Keusahawanan Negara Berhad (Insken) pada 2019.

Katanya, sistem itu dapat membantu usahawan serta bakal usahawan mengenali kecenderungan diri, malah membantu mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran Revolusi Industri Keempat (IR4.0).

“Sehingga kini, lebih 10,000 usahawan sudah mengambil ujian psikometrik MyNEPT.

“Menjadi usahawan mempunyai cabaran tersendiri termasuk emosi, pendirian dan kedudukan, jadi ujian ini untuk mengenal pasti di mana letaknya kelemahan.

“Menerusi keputusan yang diterima, mereka boleh mendapatkan bantuan dari segi latihan tambahan daripada pihak berkaitan termasuk agensi kerajaan seperti Insken, SME Corp dan lain-lain,” katanya selepas melancarkan MyNEPT di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd Firdaus Azharuddin.

Wan Junaidi berkata, pihaknya juga menyarankan semua agensi di bawah kementeriannya menggunakan sistem MyNEPT berkenaan bagi membantu usahawan mengenali kecenderungan diri.

Sementara itu, Muhd Firdaus berkata, usahawan boleh melayari pautan https://www.mynept.com/ bagi membolehkan mereka mendapat keputusan ujian psikometrik MyNEPT secara percuma.

“Sistem ini terbuka untuk semua pihak dan usahawan boleh membuat perbandingan skor bagi membantu mereka menambah baik kemahiran perniagaan sedia ada berdasarkan kedudukan mereka dalam graf dan skor diperoleh.

“Terdapat 50 soalan yang wajib dijawab oleh usahawan yang mengambil masa selama 15 minit,” katanya.