Menteri Muda MINTRED, Datuk Mohd Naroden Majais menjelaskan inisiatif ini dijalankan bagi merancakkan bidang keusahawanan di Sarawak. FOTO: BERNAMA

KUCHING: Enam program bantuan untuk golongan usahawan yang berhasrat memulakan perniagaan ditawarkan di negeri Sarawak.

Inisiatif di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) Sarawak ini turut menyediakan geran buat graduan universiti menceburi bidang perniagaan.

Menurut Menteri Muda MINTRED, Datuk Mohd Naroden Majais, inisiatif ini dijalankan bagi merancakkan bidang keusahawanan di negeri itu.

Antara inisiatif tersebut adalah geran bagi Program Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK) dan Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV).

Menerusi program GERAK, graduan universiti yang ingin menceburi bidang perniagaan diberikan geran RM20,000 maksimum dan kepada mereka yang memiliki sijil teknikal dan vokasional, geran di bawah program USTEV juga diberi sebanyak RM20,000 bagi membeli peralatan mesin komputer dan sebagainya.

“Geran ketiga berjumlah RM20,000 adalah bagi mereka yang terlibat dalam Sarawak Marketing Development.

“Manakala geran keempat Sarawak e-commerce dan innovation untuk mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang baru dan dalam e-dagang dengan amaun di antara RM5000.00 hingga RM20,000,” katanya.

Sementara itu, MINTRED juga menyediakan Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) maksimum RM250,000 dengan kadar faedah sebanyak 4 peratus berlandaskan konsep ‘decreasing balance’.

Manakala Skim Kredit Mikro Sarawak bagi usahawan B40 disediakan dengan amaun pinjaman disediakan di antara RM1000.00 hingga RM 10,000 tanpa faedah, manakala untuk M40, pinjaman diberikan daripada RM1000.00 hingga RM50,000 dengan faedah 4 peratus satu bulan.

Kedua-dua skim pinjaman itu dikendalikan oleh Agrobank dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).