Persetujuan bersama Kerajaan Negeri Sarawak dan Petronas Ini bagi mewujudkan suasana perniagaan dan pelaburan yang lebih stabil sekaligus membolehkan kelangsungan industri minyak dan gas negara. – Foto Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bersetuju akan menarik balik rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Sarawak mengenai permohonan Semakan Kehakiman pada 13 Mac 2020.

Ia selepas syarikat petroleum negara itu mencapai kata sepakat bersama Kerajaan Negeri Sarawak dalam perundingan mengenai urusan minyak dan gas serta cukai jualan ke atas produk petroleum di negeri itu.

Kerajaan Negeri Sarawak juga akan menggugurkan kesemua tuntutan di dalam kes sivil terhadap Petronas untuk bayaran cukai jualan ke atas produk petroleum.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan petang ini, kedua-dua pihak telah bersetuju bahawa pendekatan yang terbaik dalam mencapai penyelesaian bersama ialah melalui penyelesaian komersial.

Kenyataan berkenaan ditandatangani bersama Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri – Persekutuan dan Pemantauan Projek) Datuk Hajah Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Pengerusi Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh.

Persetujuan bersama Ini bagi mewujudkan suasana perniagaan dan pelaburan yang lebih stabil sekaligus membolehkan kelangsungan industri minyak dan gas negara terutamanya di dalam keadaan pasaran minyak dan gas yang tidak menentu ketika ini.

Susulan penarikan balik semua tatacara perundangan, Petronas melalui anak-anak syarikatnya yang terlibat, akan membuat bayaran penuh ke atas cukai jualan yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri Sarawak ke atas produk petroleum bagi tahun 2019 berjumlah RM2 bilion iaitu pada kadar 5% daripada nilai jualan produk tersebut.

Kerajaan Negeri Sarawak dan Petronas seterusnya bersetuju bahawa cukai jualan ke atas produk petroleum yang diperuntukkan di bawah State Sales Tax (Taxable Goods and Rate of Tax)(Amendment)(No. 2) Order, 2018 (“Order 2018”) dikenakan pada kadar yang lebih rendah secara bertempoh berdasarkan rundingan yang akan diadakan kelak.

Kerajaan Negeri Sarawak turut bersetuju bahawa cukai jualan akan terhad ke atas produk petroleum yang diperuntukkan di bawah Order 2018.