PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) di negara ini disarankan untuk menukar kaedah jualan mereka dan menjadi lebih proaktif bagi terus kekal bertahan dalam ketidaktentuan pasaran sekarang.

Presiden Persatuan Usahawan Internet Malaysia (Puim) Mohd Azrul Mohd Nor berkata, hakikatnya ramai usahawan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 bukan sahaja di peringkat domestik, malah antarabangsa.

Katanya, justeru itu usahawan terutama PKS tidak boleh lagi terlalu bergantung dengan cara pemasaran lama.

“Usahawan harus bersikap proaktif dan sentiasa bijak mencari peluang bagi meneroka pasaran yang mempunyai permintaan tinggi pada masa ini.

“Usahawan juga perlu mengenal pasti produk dan perkhidmatan baharu dalam rantaian bekalan dan sebagai contoh ada ahli Puim yang menyediakan perkhidmatan membeli barang segar untuk masyarakat Orang Asli.

“Memandangkan kita dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi had pergerakan ke lokasi terbatas, oleh itu usahawan kena menukar kaedah jualan mereka dan bijak menonjolkan diri dengan cara membuat lebih banyak pemasaran dalam talian, panggilan video, live streaming dan gunakan semua platform promosi produk sedia ada.

“Paling penting, usahawan perlu berani menutup sebahagian operasi dan menukar produk diperlukan sekarang seperti menjual makanan dan penjagaan kesihatan atau perkhidmatan logistik,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, antara perkhidmatan lain yang boleh dilakukan sekarang termasuk menawarkan khidmat membuat laman web atau menyediakan platform atas talian.

Mohd Azrul berkata, digitalisasi banyak membantu usahawan mengembangkan perniagaan dan pemilihan produk serta perkhidmatan turut menjadi keutamaan.

“PUIM dapati makanan mendapat permintaan paling tinggi diikuti logistik dan penjagaan kesihatan.

“Usahawan juga boleh melihat sekeliling mereka (kawasan kejiranan) dan perhatikan keperluan apa yang paling banyak diperlukan pada waktu ini.

“Selain itu, PUIM juga sudah menjalin kerjasama dengan pemain industri untuk menganjurkan program untuk membantu ahli mengadaptasi digital seperi e-dompet, e-pembayaran, pemasaran digital dan pelbagai lagi melalui webinar,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini PUIM mempunyai 25,000 ahli di seluruh negara.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan