OYO Hotels & Homes melancarkan program Sanitized Stays atau Penginapan yang Telah Disanitasi di mana pengurusan hotel melaksanakan protokol kebersihan menyeluruh dan meningkatkan langkah berjaga-jaga pra serta pasca daftar masuk sepanjang tempoh penginapan pelanggannya, bagi mengekang sebarang potensi penularan Covid-19.

Ketua Negara Malaysia dan Singapura, OYO Hotels & Homes, Tan Ming Luk berkata, akibat penularan pandemik Covid-19, industri hospitaliti kini perlu berdepan kebiasaan baharu dari segi cara beroperasi.

“Sebagai jenama yang komited menawarkan pilihan penginapan selamat, OYO proaktif dalam menerajui perubahan protokol pengemasan dan pembersihan dalam kalangan industri hospitaliti merangkumi semua hartanah OYO.

“Di dalam industri ini, mengekalkan kepercayaan dan keyakinan tetamu penting dan ia dicerminkan dalam pendekatan yang diambil OYO menerusi protokol baharu kami yang sentiasa mendahulukan pelanggan, bagi memberikan keyakinan dan ketenangan kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menerusi inisiatif itu, OYO akan merombak semula proses daftar masuk dan keluar tetamu kepada proses sentuhan minimum dan dalam proses mendapatkan kelulusan yang diperlukan untuk pelanggan memuat naik pengenalan diri mereka dan melengkapkan proses formaliti dengan interaksi yang minimum daripada kakitangan hotel.

OYO juga akan memperkenalkan perkhidmatan bilik sentuhan minimum dan melatih kakitangan pengemasan mengenai perkara sama.

Selain itu, semua hartanah OYO yang menyertai program ini akan mempunyai logo Sanitized Stay yang dipaparkan di dalam aplikasi OYO dan platform tempahan hotel.

Katanya, pemilik dan kakitangan hotel boleh menggunakan budi bicara mereka untuk menerima atau menolak tetamu yang menunjukkan tanda-tanda serta simptom berkaitan Covid-19 seperti demam, batuk, sesak nafas, hidung berair, pening kepala dan sakit tekak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19