HARGA rumah di Malaysia masih berada pada paras yang sangat tidak mampu milik jika dibanding dengan pendapatan berikutan ketidakpadanan yang ketara dan berlarutan antara permintaan dengan bekalan harta kediaman.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan (Separuh Kedua 2019) yang dikeluarkan semalam berkata, risiko pembetulan ketara terhadap harga rumah terus dikekang permintaan kukuh terhadap perumahan, terutama bagi harta tanah berharga bawah RM500,000.

Pada tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu, kategori harta tanah itu mencakupi 83 peratus daripada jumlah transaksi.

Bank pusat berkata, harga rumah di Malaysia terus meningkat dengan sederhana pada suku ketiga tahun lalu berikutan permintaan berterusan untuk harta tanah bertingkat mampu milik.

Aktiviti pasaran perumahan kekal kukuh selepas mencatatkan prestasi yang lebih baik pada separuh pertama tahun lalu.

Perkembangan ini hasil pelbagai inisiatif diperkenalkan pada tahun lalu oleh kerajaan dan sektor swasta untuk menyokong pemilikan rumah, termasuk pengecualian duti setem serta diskaun dan rebat diberi pemaju.

Bagi keseluruhan tahun lalu, jumlah transaksi pasaran perumahan daripada segi jumlah dijangka meningkat lebih kukuh.

Selain itu, pertumbuhan pendapatan, pertambahan isi rumah baharu serta pelbagai inisiatif mengurangkan kos memiliki rumah terus menyokong permintaan perumahan pada tahun lalu.

“Permintaan untuk rumah mampu milik terus melebihi bekalan dengan margin yang besar, menandakan masih ada ruang pelarasan harga selanjutnya, khususnya bagi bekalan rumah baharu,” kata BNM.

Sebaliknya, usaha mengimbangkan semula bekalan rumah kurang memuaskan.

Purata jumlah harta kediaman baharu dilancarkan berharga kurang daripada RM300,000 merosot dalam suku tahun kebelakangan ini meskipun permintaan daripada isi rumah adalah kukuh.

Menurut bank pusat, data terkini menunjukkan pelancaran rumah baharu dalam segmen harta tanah ini semakin menurun dan mengubah trend terdahulu.

Sekiranya trend sebegini berterusan, risiko pelarasan harga pada masa hadapan mungkin meningkat kembali disebabkan kekangan kemampuan.