KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji penggunaan kaedah digital untuk menyalurkan bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat mikro, selaras usaha untuk mempercepat peralihan kepada pendigitalan operasi perniagaan usahawan berkaitan di Malaysia.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, langkah penyaluran bantuan, subsidi dan dana mudah menggunakan platform digital dilihat menjadi keperluan penting bagi membolehkan syarikat PKS dan mikro mengadaptasi platform digital dalam urusan perniagaan.

“Kami akan melihat perkara ini untuk penyaluran bantuan berikutnya kepada PKS dan mikro supaya usaha mendigitalkan perniagaan PKS dan mikro dapat dipercepatkan.

“Kerajaan akan memberi tumpuan dalam memberikan sokongan syarikat PKS dan mikro pulih dari kesan Covid-19 serta beralih kepada perniagaan digital,” katanya pada sidang media selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Mastercard di Cyberjaya, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri serta Pengurus Negara Malaysia dan Brunei Mastercard, Perry Ong.

Menjelaskan rancangan itu, Surina berkata, kerajaan akan melihat ekosistem kewangan digital secara keseluruhan bagi mempercepatkan peralihan perniagaan PKS dan mikro termasuk penyaluran bantuan kewangan kepada perniagaan.

Beliau berkata, MDEC tidak menolak kemungkinan meneroka beberapa kerjasama dengan pelbagai syarikat penyedia kewangan bagi meningkatkan akses pilihan kepada usahawan mengikut kesesuaian.

“Mengambil contoh penyaluran bantuan e-Penjana berjumlah RM50 menerusi e-dompet di mana konsep sedemikian turut boleh dilaksanakan dalam penyaluran bantuan kepada PKS dan mikro bagi menggalakkan penggunaan kaedah kewangan digital.

“Kita akan melihat pelbagai platform untuk penyaluran bantuan ini untuk membudayakan kaedah baharu dalam perniagaan.

“Inilah masa yang sesuai untuk kita memacu penggunaan digital oleh usahawan tempatan. Kita lihat Covid-19 membantu mempercepatkan peralihan ini, namun ia akan ditambah lagi menerusi usaha kerajaan untuk memastikan peralihan ini adalah satu kemestian,” katanya.

Sementara itu, MoU Mastercard – MDEC antara lain akan menyokong inisiatif digital yang digariskan kerajaan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dengan menumpukan usaha untuk mempercepat PKS dan usahawan mikro tempatan menyertai e-dagang melalui sokongan penggunaan penyelesaian pembayaran digital terutama bagi penduduk di luar bandar yang kurang akses kepada bank.

Menerusinya, Mastercard dan MDEC akan menyokong rakan industri untuk memudahkan pembayaran dengan penggunaan teknologi perniagaan seperti Mastercard Payment Gateway Services, platform kredit mikro Kionect dan Mastercard Teknologi Tanpa Kontak Untuk Memudahkan Perdagangan.

Ia adalah platform yang menyediakan perniagaan dengan infrastruktur yang diperlukan untuk terbabit dalam e-dagang.

Kedua-dua pihak dijangka akan memanfaatkan program masing-masing seperti bimbingan global Mastercard dan kurikulum Girls4Tech STEM khas untuk mempromosikan literasi digital dan kewangan untuk kumpulan sasaran seperti wanita dan remaja perempuan yang kurang berkemampuan serta perusahaan yang diketuai oleh wanita.

“Ini juga menjadi bidang yang diberi tumpuan oleh MDEC melalui pelbagai programnya termasuk pengembangan bakat digital, memperkasakan wanita dalam pengurusan risiko siber, perkhidmatan e-dagang dengan Perkhidmatan e-dagang Setempat (PeDAS), eUsahawan dan eRezeki,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19