Permintaan sarung tangan getah yang menjadi sebahagian daripada PPE meningkat disebabkan bekalan sebelum ini berkurangan. Gambar fail/ Bernama

KUALA LUMPUR: Saham pengeluar sarung tangan terus mencatatkan peningkatan di Bursa Malaysia, diterajui oleh Top Glove Corp Bhd yang mencecah paras RM8.28 pada 9.08 pagi apabila penularan pandemik COVID-19 telah meningkatkan permintaan terhadap sarung tangan getah dalam industri perubatan global.

Kaunter itu susut kepada RM7.92 pada 11 pagi selepas melonjak sehingga setinggi 97 sen dalam dagangan awal.

RHB Retail Research berkata saham Top Glove dijangka meneruskan aliran tingginya selepas ia terus bertahan di atas paras sokongan RM7.08.

"Memandangkan saham itu merekodkan paras tertinggi baharu dalam tempoh 52 minggu, sentimen positif telah dipertingkatkan. Kecenderungan meningkat mungkin berada di atas paras RM7.22 degan paras rendah di bawah RM7.08," kata firma penyelidikan itu dalam satu nota hari ini.

Sementara itu, saham Hartalega Holdings Bhd naik 17 sen kepada RM7.53 manakala Kossan Rubber Industries Bhd meningkat 37 sen kepada RM5.85.

Kenanga Research berkata pasaran positif berikutan potensi impak daripada purata harga jualan lebih tinggi daripada dijangkakan ke atas saham Kossan.

"Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE), yang mana sarung tangan adalah satu daripada komponennya ketika ini mendapat permintaan yang tinggi disebabkan bekalan yang terhad.

"Justeru itu, kami menjangka pembeli akan bersaing untuk mendapatkan peruntukan yang akan meningkatkan purata harga jualan," kata firma penyelidikan itu dalam satu nota hari ini.

Justeru, Kenangan berkata ia telah menaikkan unjuran keuntungan bersih Kossan bagi tahun kewangan 2020 dan 2021 masing-masing sebanyak enam peratus dan 11 peratus dan meningkatkan harga sasaran kepada RM7.20 daripada RM6.30 sebelumnya.

— BERNAMA