PERUSAHAAN Otomobil Nasional (Proton) kembali mencatatkan lonjakan jualan sebanyak 9,623 unit pada Jun iaitu 9.3 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama, tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, tiga model mendahului jualan segmen masing-masing.

“Model Saga menyumbang kepada kenaikan ini dengan prestasi terbaik dalam tempoh 70 bulan pada Jun apabila terjual sebanyak 4,447 unit,” katanya dalam siaran media, hari ini.

Selain itu, model X70 kekal sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen C terlaris dengan jualan 1,909 unit.

Katanya, Proton Persona dalam kedudukan teratas segmen B untuk dua bulan berturut-turut.

“Proton Exora kekal sebagai kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen C terlaris dan model Iriz pula sebagai hatchback segmen B pada kedudukan ketiga dalam kategorinya,” katanya.

Penguasaan pasaran Proton pada separuh pertama 2020 mencatatkan sebanyak 21.2 peratus.

“Jualan Proton untuk sebulan penuh sejak Februari amat memberangsangkan dan kami kekal yakin untuk separuh kedua 2020 permintaan dan keyakinan pengguna akan terus meningkat,” katanya.