RODA Radius Enterprise komited melebarkan sayapnya dalam perniagaan menjual motosikal terpakai berkuasa tinggi di negara ini dengan mencari pelabur atau rakan kongsi yang berminat membuka Roda Radius Studio.

Pengasasnya, Anuar Ahmad berkata, pihaknya menyasarkan untuk membuka cawangan Roda Radius Studio di Johor dan seterusnya negeri lain secara berperingkat bermula tahun ini.

“Sebagai syarikat 100 peratus Bumiputera yang sudah berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang motosikal terpakai, saya berharap dapat menarik golongan belia dan melatih mereka dalam bidang ini.

“Kami menggalakkan penyertaan lebih ramai anak Bumiputera menceburi bidang pemasaran motosikal ini dengan menawarkan khidmat kerjasama sebagai pembimbing jururunding jualan dan belian.

“Syarikat juga meletakkan matlamat menjadi antara pengedar utama motosikal berkuasa tinggi di negara ini dan rantau Asia Tenggara menjelang 2025,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, bagi melaksanakan misi syarikat, pelbagai usaha sudah dan sedang dilakukan, antaranya mengadakan kerjasama dengan syarikat yang bersetuju menjadi sekutu perniagaan bersama Roda Radius.

Biarpun berdepan dengan impak pandemik Covid-19 yang menjejaskan jualannya, Anuar berkata, kini Roda Radius mempelbagaikan lagi perkhidmatan yang disediakan termasuk membaik pulih motosikal, juruiring konvoi, pembaharuan cukai jalan dan insurans, mengangkut kenderaan motor serta kursus defensive riding.

“Kami banyak memfokus menjual motosikal jenama Harley Davidson dan kelainan di Roda Radius Studio, kami menjual motosikal yang sudah berdaftar dan digunakan di Malaysia disebabkan itu harga ditawarkan jauh lebih murah.

“Ini menjadikan Harley Davidson mampu dimiliki dan ia memang disasarkan untuk pelanggan kelas pertengahan.

“Juster,u untuk membuka cawangan Roda Radius Studio modal dianggarkan minimum RM500,000 dan kami sentiasa membuka peluang kepada mereka yang berminat menjadi pelabur atau rakan kongsi untuk merancakkan lagi industri ini,” katanya.