Rawang: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) memperuntukkan sejumlah RM1.2 bilion sebagai perbelanjaan modal (capex) pada tahun ini.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zainal Abidin Ahmad, daripada angka tersebut, sejumlah RM700 juta akan disalurkan untuk penyelidikan dan pembangunan, khususnya dengan adanya, pembangunan model D55L yang baharu, manakala RM250 juta bagi pengembangan rangkaian jualan.

“Ini dibuat berdasarkan perancangan awal kami tanpa dirangkumkan (kesan) Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya,” katanya ketika sesi soal jawab selepas pratonton media eksklusif dan pandu uji model baharu itu.

Sesi itu diadakan mengikut prosedur operasi standard dan garis panduan keselamatan yang ketat di ibu pejabat Perodua di sini baru-baru ini.

D55L adalah nama kod dalaman Perodua untuk kenderaan utiliti sukan kompak lima tempat duduknya (SUV) yang bakal dilancarkan menjelang 3 Mac depan.

Model ini akan mempunyai hampir 95 peratus bahagian buatan Malaysia, tertinggi berbanding model lain Perodua yang rata-rata memiliki hanya 90 peratus kandungan tempatan.

Beliau juga berkata Perodua kekal sebagai pembeli terbesar komponen automotif di Malaysia.

Pembuat kereta kompak itu dijangka membeli komponen bersumberkan tempatan mencecah sehingga RM6.5 bilion pada tahun ini, naik berbanding RM6.0 bilion pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, sasaran pengeluaran Perodua 2021 mewakili kenaikan sebanyak 23 peratus daripada 220,968 unit yang dikeluarkan pada 2020.

Zainal Abidin ketika mengulas mengenai model D55L yang baharu berkata kapasiti pengeluaran yang dijangkakan adalah sekitar 36,000 hingga 40,000 setahun dan ia boleh dipertingkatkan melalui insentif kerja lebih masa.

Perodua D55L adalah model pertama di bawah rangka tindakan Perodua Smart Build (PSB), yang menerajui pencapaian Perodua dengan gaya, keselamatan, teknologi, tahap peralatan dan nilai.

PSB adalah rangka tindakan mampan pertama Perodua yang merangkumkan hampir keseluruhan ekosistem pembekal serta peniaga automotif Malaysia, yang direka untuk mendorong kumpulan dan industri ke arah globalisasi.