Kuala Lumpur: RHB Bank Bhd (RHB Bank) merekodkan untung bersih lebih rendah susut 18.1 peratus kepada RM2.03 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 (TK2020) berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, penurunan untung bersih itu disebabkan kerugian ubah suai yang wujud menerusi moratorium pinjaman yang ditawarkan kepada pelanggan dan jangkaan kerugian kredit (ECL) lebih tinggi.

Katanya, kumpulan sudah mengkaji semula rancangan perniagaannya dan mengutamakan inisiatif strategik lima tahunnya iaitu FIT22.

“Kami menjangkakan ini memungkinkan kumpulan untuk cepat menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran perniagaan dan perubahan tingkah laku pelanggan yang disebabkan oleh wabak Covid-19.

“Memandangkan persekitaran operasi yang mencabar, kami terus inovatif dalam pendekatan kami, sambil terus berwaspada dengan membangun peruntukan kami dan meningkatkan amalan pengurusan risiko yang berhemat dan pada masa sama mengekalkan asas modal dan kecairan yang kukuh,” katanya pada taklimat media keputusan kewangan TK2020 RHB Bank secara maya, hari ini.

Menurutnya, RHB Bank juga akan terus menawarkan sokongan kepada pelanggan sedia ada, terutama segmen B40, melalui program bantuan pembayaran yang disasarkan, berlangsung hingga 30 Jun 2021.

Mengulas mengenai prospek tahun ini, Khairussaleh berkata, perniagaan kumpulan itu dijangka terus mencabar berikutan peningkatan semula kes jangkitan Covid-19 dan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) yang memberi kesan kepada aktiviti ekonomi.

Sementara itu, pendapatan berasaskan dana bersih RHB Bank meningkat 6.3 peratus tahun ke tahun kepada RM5.3 bilion didorong oleh pengurusan kos pembiayaan proaktif, yang turun 23.8 peratus.

Bagi TK2020, RHB Bank meraih pendapatan lebih rendah kepada RM12.6 bilion berbanding RM13.53 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagi tempoh suku keempat 2020 pula, kumpulan perbankan itu meraih pendapatan RM3.08 bilion, merosot berbanding RM3.42 bilion yang dicatatkan pada 2019, sekali gus menyaksikan untuk bersih jatuh kepada RM439.3 juta daripada RM622.8 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Walaupun pinjaman kasar RHB Bank meningkat 5.6 peratus tahun ke tahun kepada RM186.1 bilion disokong pinjaman perumahan, automotif, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perbankan di Singapura, namun kerugian kredit dijangka (ECL) kumpulan itu meningkat dengan ketara kepada RM1.15 bilion daripada hanya RM278.8 juta tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, jumlah pinjaman kasar yang terpaksa dilaraskan RHB Bank berada pada RM3.2 bilion setakat 31 Disember 2020 dengan nisbah 1.71 peratus berbanding masing-masing RM3.5 bilion dan 1.97 peratus setakat akhir 2019.