KOPERASI Pendidikan Swasta Malaysia Berhad (KPSMB) menyarankan kerajaan mewujudkan insentif atau skim bantuan khas bagi pengusaha taska dan tadika di negara ini.

Pengerusinya, Datuk R Rajendran berkata, ia berikutan kesukaran pengusaha untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada bank.

Katanya, ini kerana tiada pengkhususan untuk taska dan tadika dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

“Banyak keluhan dan rungutan yang kami terima berhubung isu terbabit. Jadi, adalah wajar untuk kementerian berkaitan tampil menyelesaikan permasalahan ini dengan mewujudkan insentif atau skim bantuan khas tertentu supaya sumber kewangan mereka dapat bertahan untuk jangka masa lebih lama.

“Penting bagi kerajaan meneliti perkara yang dinyatakan bagi membantu dan meringankan beban pengusaha terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, pihaknya mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk meneliti supaya taska dan tadika dapat beroperasi semula dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tertentu.

Beliau berkata, ketika kebanyakan bidang perniagaan sudah mula beroperasi, sekolah dan institusi pendidikan lain-lain pula harus menunggu lebih lama untuk kembali beroperasi.

“Lebih-lebih lagi, terdapat kebimbangan laporan terkini yang menyatakan sektor pendidikan hanya akan dibuka selepas situasi Covid-19 di negara ini benar-benar pulih.

“Pengusaha tadika dan taska juga memerlukan perbelanjaan yang banyak untuk memulakan semula perniagaan mereka seandainya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan sepenuhnya kelak.

“Terdapat banyak persediaan yang perlu diselesaikan oleh pemilik dan kakitangan premis sebelum beroperasi semula.

“Sebagai contoh, mereka perlu mendapat kebenaran daripada pejabat kesihatan daerah dan melakukan proses sanitasi terlebih dahulu.

“Selain itu, terdapat juga keperluan bagi membeli cecair pembasmi kuman, pencuci tangan serta pelitup muka dalam kuantiti yang banyak.

“Ia memandangkan kegunaannya membabitkan ramai orang dan perlu digunakan secara harian,” katanya.