RAKYAT Malaysia dilihat menyokong usaha negara menjadi masyarakat tanpa tunai dan majoritinya percaya matlamat itu boleh dicapai dalam tempoh lima tahun akan datang.

   Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon berkata, berdasarkan penemuan terbaharu daripada Kajian Pembayaran Pengguna Visa, pengguna didapati menyokong usaha ini.

   Katanya, tiga manfaat utama ditawarkan oleh masyarakat tanpa tunai termasuk menjejak rekod kewangan dengan mudah, mengelakkan kerenah beratur di bank dan menjadikan negara lebih cekap.

   “Kami gembira melihat peningkatan penggunaan kaedah pembayaran digital oleh rakyat Malaysia di negara ini, terutama pembayaran tanpa sentuh.

   “Ini sejajar data kami yang menunjukkan hampir separuh daripada pembayaran bersemuka Visa adalah bayaran tanpa sentuh.   

   “Di samping itu, Malaysia adalah satu daripada negara paling pantas berkembang di Asia Pasifik dari segi tahap penembusan pembayaran tanpa sentuh dan kami yakin pertumbuhan ini diteruskan sambil kami menceburi segmen kategori peniaga baharu,” katanya.

   Kajian terbabit mendapati 69 peratus daripada responden Malaysia bercadang menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai lebih kerap dan beralih daripada penggunaan tunai.

   Trend ini lebih jelas dalam kalangan golongan mewah, dengan 77 peratus menyatakan minat mereka berbuat demikian.  

  Sebab utama bagi peningkatan penggunaan pembayaran digital ialah kemudahan dan tahap penerimaan pembayaran digital di negara ini.

Di samping itu, hampir dua daripada lima responden menyatakan mereka membawa jumlah wang tunai lebih kecil berbanding dua tahun lalu.

   Manakala 69 peratus daripada responden berkata semakin ramai peniaga menerima pakai kaedah pembayaran tanpa tunai dan 65 peratus berbuat demikian kerana bimbang membawa wang tunai.