PENGGERAK syarikat permulaan peringkat awal di Malaysia, Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), semalam mengumumkan pelantikan Rafiza Ghazali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) bermula 1 Jun 2020.

Rafiza akan membawa bersama beliau pengalaman yang meluas dalam bidang Strategi, Inovasi, Kewangan dan Pengurusan Perniagaan.

Beliau pada masa ini adalah Ketua Pegawai Kewangan di Velesto Energy Berhad, syarikat multinasional dalam sektor huluan minyak dan gas yang diasaskan di Malaysia.

Rafiza memulakan kerjaya beliau di Arthur Andersen & Co. di Australia dan kemudiannya memegang jawatan kanan di beberapa organisasi terkemuka termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), RHB Investment Bank Berhad, Thomson Reuters dan Sime Darby Berhad.

“Pelantikan Rafiza mengukuhkan komitmen Lembaga Pengarah bagi memastikan peranan Cradle dalam mewujudkan ekosistem yang mampan bagi komuniti syarikat-syarikat permulaan.

“Keutamaan kami di dalam krisis Covid-19 adalah untuk membolehkan syarikat-syarikat permulaan di Malaysia dan usahawan teknologi mengharungi segala cabaran dan berkembang berdasarkan landskap yang semakin berubah.

“Pencarian bagi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif ini telah melalui satu proses yang ekstensif dan melibatkan kerjasama rapat bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan juga Kementerian Kewangan Malaysia (MOF),” kata Pengerusi Cradle, Datuk Yvonne Chia.