Bernama

Kuala Lumpur: Public Bank akan mengadakan Klinik Bantuan Pembayaran Balik di bandar utama di seluruh negara pada hari Sabtu dan Ahad selama enam minggu mulai 19 September ini.

Pada program berkenaan, Public Bank akan memberi khidmat nasihat dan bantuan untuk pelanggan yang mahu memohon bantuan lanjut selepas tamatnya moratorium selama enam bulan pada 30 September ini.

Bagaimanapun, pelanggan perlu mendaftar terlebih dahulu untuk menyertai klinik berkenaan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek berkata, sebagai sebahagian langkah bantuan, Public Bank menyediakan pakej bantuan pembayaran balik yang bersesuaian dengan situasi kewangan pelanggan yang pelbagai.

“Bank amat proaktif dalam libat urus dengan pelanggan berkaitan langkah-langkah bantuan.

“Selain platform digital yang membolehkan pelanggan untuk mengemukakan permohonan dalam talian, kami akan menganjurkan klinik bantuan pembayaran balik hujung minggu sebagai saluran tambahan untuk pelanggan yang memerlukan bantuan lanjut.

“Program ini juga memudahkan pelanggan yang tidak dapat mengunjungi cawangan kami pada hari biasa,” katanya dalam kenyataan.

Untuk pelanggan yang ingin mengemukakan permohonan dalam talian bagi pelan pembayaran balik mereka boleh terus memohon melalui platform digital Public Bank melalui laman web Bank di https://apply.pbebank.com/pbrnr.