Kuala Lumpur: PROTON Holdings Bhd melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) terlaris Malaysia, Proton X70 2020 di Brunei pada Ahad lalu menjadikan negara itu pasaran eksport pertama bagi model yang dibina di Tanjung Malim.

Pada tahun lalu, Brunei juga muncul pasaran eksport pertama bagi model terdahulu Proton X70.

Sama dengan model terdahulu, Proton X70 2020 didatangkan dalam tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium X untuk pasaran Brunei serta dijual dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

Sejak dilancarkan pada Februari lalu, Proton X70 2020 model pilihan paling popular dalam kalangan pembeli SUV di Malaysia menyaksikan 12,732 unit dijual setakat akhir bulan lalu, sekali gus menguasai 25.9 peratus pasaran SUV di negara ini.

Model terdahulu Proton X70 juga termasuk dalam tiga tempat teratas bagi segmennya di Brunei, walaupun dijual selama setahun.

Jumlah jualan industri automotif di negara itu menunjukkan trend peningkatan walaupun berdepan penularan Covid-19 apabila 7,609 kereta dijual pada Julai lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, syarikat teruja dengan model Proton X70 2020 buatan Malaysia sudah dilancarkan di pasaran pertama di luar negara kerana jualan eksport memainkan peranan penting untuk meningkatkan jumlah jualan keseluruhan.

“Kami yakin kombinasi ciri-ciri inovatif serta peralatan keselamatan yang menyeluruh pada X70 baharu ini akan menarik perhatian pembeli kereta bukan hanya di Brunei, malah di mana-mana pasaran di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.