PROTON Holdings Bhd (Proton) sudah memasuki pasaran Kenya dengan kumpulan kereta pertama yang terdiri daripada 30 unit Proton Saga.

Kereta itu dihantar sebagai model pemasangan tempatan (CKD) dan akan dibina semula oleh Simba Corp, sebuah konglomerat yang mempunyai pengalaman pemasangan serta jualan dalam industri automotif.

“Proton akan tetap mengukuhkan kedudukan domestik, kami ingin dikenali sebagai pembuat kenderaan antarabangsa. Oleh itu, produk kami perlu berada di bandar lain seperti Bangkok, Islamabad, Kaherah dan kini, Nairobi,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Radzaif Mohamed dalam satu kenyataan.

Di peringkat negara, usaha ini akan meningkatkan nilai perdagangan antara Malaysia dan Kenya, serta menyumbang kepada peluang pekerjaan dalam industri automotif Kenya.

Tetamu kehormat bagi majlis pelepasan itu adalah Pesuruhjaya Tinggi Kenya ke Malaysia, Francis N Muhoro.

Dalam ucapan beliau, Muhoro menerangkan Dasar Pandang ke Timur yang diamalkan oleh negaranya dan beliau berharap supaya lebih banyak syarikat Malaysia seperti Proton akan menerokai peluang pelaburan di Kenya.

“Malaysia dan Kenya berkongsi banyak persamaan, bermula sebagai tanah jajahan sehingga kepada usaha kami untuk membangunkan negara masing-masing.

“Proton bukan saja akan meneroka negara yang berpopulasi 51 juta orang, tetapi juga sebagai jejak pertamanya ke benua Afrika yang mempunyai pasaran berpotensi seramai 1.3 bilion orang.

“Oleh itu, saya berharap ini akan menjadi permulaan kepada lebih banyak perdagangan antara kedua-dua negara,” kata beliau.