PROTON mengumumkan pelantikan Roslan Abdullah sebagai Naib Presiden, Jualan dan Pemasaran baharunya.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, pelantikan ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Proton bagi mencapai matlamat dan objektif jangka panjang syarikat.

“Kami berharap beliau dapat membantu meningkatkan prestasi Proton pada waktu yang mencabar ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Roslan turut dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd (PESB), anak syarikat milik penuh Proton yang menguruskan pengedaran kereta dan menyediakan perkhidmatan jualan dan selepas jualan kepada pelanggan, berkuat kuasa hari ini.

Roslan mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas berkaitan landskap automotif di Malaysia.

Jawatan yang pernah dipegang oleh beliau termasuklah di bahagian kewangan, operasi dan jualan serta berkecimpung dalam sektor automotif lebih tiga dekad.

Sebelum menyertai Proton, pemegang Ijazah Kewangan dan Perakaunan dari University of Brighton, United Kingdom ini memantau operasi di DRB-HICOM Defense Technologies Sdn Bhd (DEFTECH).