Kuala Lumpur: Prospek pertumbuhan penyedia platform digital, AppAsia Bhd adalah positif tahun ini meskipun dalam persekitaran semasa yang amat mencabar.

Rakuten Trade dalam nota penyelidikannya berkata, ia susulan pendapatan mantap daripada platform syarikat itu iaitu eConfirm.my serta potensi menerusi kerjasamanya dengan anak syarikat Telekom Malaysia Bhd (TM) baru-baru ini.

AppAsia adalah platform digital pembangun eConfirm.my yang berperanan sebagai platform pengesahan bank elektronik pertama dan satu-satunya di Malaysia.

Pelaburan Mara adalah pemegang saham institusi terbesar di dalam AppAsia menerusi pegangan saham 21.29 juta atau 6.06 peratus.

Ketua Penganalisis Rakuten Trade, Kenny Yee Shen Pin berkata, pemangkin pertumbuhan seterusnya adalah menerusi perjanjian kerjasama dengan anak syarikat TM untuk mengubah buku Yellow Pages Business Directory ke dalam pasaran komuniti perniagaan digital.

“Ia mempunyai model perkongsian hasil dengan TM yang kami percaya ia langkah strategik bagi membantu pertumbuhan akan datang.

“Yellow Pages adalah direktori perniagaan terkemuka di Malaysia dengan pencarian dalam talian sebanyak 500,000 entiti perniagaan,” katanya. dalam nota analisis.

Setakat ini, platform berkenaan telah mengumpulkan sebanyak 13 institusi perbankan dan lebih 400 firma audit di Malaysia yang meliputi hampir 80 peratus pasaran.

Platform berkenaan ditubuhkan menerusi perjanjian kerjasama dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA) selama 12 tahun sehingga 2030, berdasarkan model hasil asas pembayaran bagi setiap transaksi dengan RM15 bagi setiap pengesahan berjaya.