DPMM mempersoalkan proses permohonan skim bantuan pemulihan perniagaan menerusi Pakej Rangsangan Prihatin PKS tidak masuk akal.

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mempersoalkan proses permohonan skim bantuan pemulihan perniagaan menerusi Pakej Rangsangan Prihatin PKS yang disifatnya sebagai tidak masuk akal.

Dalam satu kenyataan, badan itu berkata halangan terbesar ialah pihak bank masih mengekalkan corak pemprosesan yang sama.

"Mak cik Kiah yang berniaga nasi lemak di gerai tepi jalan sebelum PKP telah berubah menjual nasi lemaknya melalui pesanan dan juga dalam talian.

"Kalau dulu, modal berniaganya diperoleh setiap hari, sekarang telah berubah kepada setiap minggu. Maka keperluan beliau adalah aliran tunai untuk bertahan selama lapan ke 10 hari.

"Jika modalnya dulu RM100 sehari, sekarang menjadi RM1,000. Tidak masuk akal jika beliau perlu menunjukkan rekod perniagaan yang sama seperti pemohon RM75,000," soal DPMM.

Badan Melayu itu turut mendedahkan tindakan bank yang menyalurkan dana berkenaan kepada peniaga walaupun tidak memohon.

"Ada dalam kalangan pengusahaniaga yang tidak memohon turut ditawarkan skim-skim berkenaan oleh pihak bank kerana mereka adalah pelanggan bagus bank berkenaan.

"Ini sudah tentunya terpesong daripada matlamat pakej ini dibuat," jelasnya.

DPMM juga menpersoal kegagalan pihak bank dan bank pusat memberikan penjelasan mengenai pecahan PKS yang menerima bantuan berkenaan.

Pada masa sama, DPMM memaklumkan lebih separuh daripada anggotanya hanya mampu bertahan dalam tempoh sebulan ini, walaupun sudah menerima Skim Bantuan Upah.

Dianggarkan PKS lebih 950,000 PKS berdaftar di Malaysia, dengan 53 peratus adalah perniagaan milik Melayu dan Bumiputera.