KUMPULAN Syarikat PROLINTAS memberi sumbangan tunai RM60,000 bagi mengurangkan tekanan dihadapi barisan petugas hadapan perubatan dan komuniti B40 yang terkesan berikutan penularan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, disebabkan kes jangkitan Covid-19 yang meningkat di seluruh negara, PROLINTAS komited untuk membantu terutamanya hospital dan golongan B40 yang menghadapi situasi sukar dan amat mencabar ketika ini.

“Kami juga akan membantu kumpulan B40 yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020.

“Kumpulan ini sedang berhadapan dengan situasi yang sukar dan PROLINTAS melihatnya sebagai satu kewajipan menghulurkan bantuan bagi memastikan kebajikan mereka serta keluarga terjaga.

“Diharap, dengan sumbangan ini, ia dapat mengurangkan beban dihadapi oleh mereka,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Menurutnya, sumbangan wang tunai telah disampaikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang bertujuan membiayai kos penyediaan peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada doktor dan jururawat agar ia dapat menjamin keselamatan mereka ketika bertugas.

Manakala sumbangan berbentuk barangan turut dihulurkan kepada empat pusat perubatan iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

Barangan disumbangkan mengikut keperluan hospital masing-masing bagi menangani kekurangan keperluan, melihat kepada penambahan kes serta pembukaan wad tambahan khas untuk pesakit COVID-19.

Sementara itu, sumbangan kepada kumpulan B40 di seluruh negara disalurkan menerusi pertubuhan bukan kerajaan iaitu MERCY Malaysia dan Serantau Muslim.

Semasa pelaksanaan tempoh PKP ini, PROLINTAS mempunyai lebih 200 kumpulan barisan hadapan yang bertugas setiap hari di plaza tol bagi memastikan operasi lebuh raya seperti AKLEH, LKSA, GCE dan SILK lancar.

Kakitangan ini sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan aliran trafik lancar dan terkawal.

Talian hotline lebuh raya dan peronda sentiasa berfungsi 24 jam sehari, jika berlakunya sebarang kecemasan.

PROLINTAS komited bersama memerangi wabak ini dan akan terus proaktif dalam membantu negara keluar daripada pandemik COVID-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19