Kuala Lumpur: IBN Tait Sdn Bhd memperuntukkan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM8 bilion bagi membangunkan projek hartanah eko-pelancongan, IBN Highlands City dan IBN Bukit Bintang bermula tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Michael Yong Kar Moh berkata, proses pembinaan bagi kedua-dua projek itu sudah bermula.

Katanya, projek IBN Highlands City dengan GDV RM6.5 bilion itu dibina di atas tanah seluas 8.09 hektar berhampiran Awana Genting Highlands dan Genting Highlands Premium Outlet.

“Projek ini pembangunan bercampur membabitkan apartmen servis (2,917 unit), 1,176 suite hotel dan dua blok komersial setinggi empat tingkat di mana setiap tingkat menempatkan 207 lot runcit.

“Untuk projek IBN Bukit Bintang pula, sebanyak RM1.5 bilion GDV diperuntukkan dengan kerjasama KKH Pavilion Development Sdn Bhd.

“Pembangunan bercampur ini membabitkan pembinaan menara 68 tingkat dengan 339 unit kediaman dan 268 suite hotel,” katanya pada sidang media sempena perjanjian usaha sama (JVA) dengan MRF Consultant Sdn Bhd di sini.

Michael berkata, apabila siap kelak IBN Bukit Bintang (setinggi 345 meter) akan menjadi antara lima bangunan tertinggi di Kuala Lumpur dan bangunan kediaman tertinggi dalam bandar.

Menurutnya, kedua-dua projek itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun.