Tengku Zafrul menyatakan di bawah skim kredit mikro BSN, 4,587 permohonan telah diluluskan, bernilai RM175 juta. – Gambar fail

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM3.22 bilion telah diluluskan kepada 286,338 majikan yang mewakili 2.2 juta pekerja melalui Program Subsidi Upah setakat 31 Mei.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, terdapat peningkatan jumlah yang diluluskan sebanyak RM980 juta untuk 200,000 pekerja berbanding dua minggu sebelumnya.

“Bagi Program Pengekalan Pekerja yang dikawal selia oleh PERKESO,  sehingga 31 Mei seramai 184,000 pekerja telah diluluskan bersamaan dengan RM110 juta sebulan. Manfaat ini akan disalurkan kepada majikan dan pemilik perniagaan.

“Seterusnya, Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP) KWSP setakat 31 Mei, sebanyak 26,509 permohonan telah diterima, dan sebanyak 5,245 permohonan telah diluluskan bernilai RM34.8 juta bagi caruman KWSP majikan, berbanding RM20.6 juta dua minggu lalu.

“Saya ingin menekankan bahawa KWSP sedang meneliti setiap permohonan untuk menangguh dan menstruktur semula bayaran caruman. Kelulusan tidak boleh diberi sewenang-wenangnya kerana dari segi undang-undang, ini adalah satu kewajipan yang tidak boleh dielakkan oleh pihak majikan,” katanya dalam sidang media, pada Selasa.

Tambah Tengku Zafrul, untuk Dana Pinjaman Mudah PKS yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), permohonan yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS adalah RM6.9 bilion, dan akan memanfaatkan 16,833 PKS.

“Mengenai Geran Khas Prihatin (GKP) untuk PKS mikro sebanyak 488,857 atau 76 peratus permohonan telah diluluskan dan semakan status permohonan boleh dibuat mulai pada 3 Jun 2020 dan bagi mereka yang lulus, jumlah bayaran sebanyak RM1.47 bilion akan dibuat mulai 15 Jun 2020.

“Saya juga ingin berkongsi bahawa LHDN sedang membuat semakan lanjut ke atas 81,260 permohonan, dan status kelulusan bagi permohonan akan dimaklumkan mulai 8 Jun. Bagi mereka yang lulus, bayaran akan dibuat mulai 15 Jun juga," tambahnya. 

LHDN juga mendapati sebanyak 72,859 permohonan yang tidak lulus. Bagi mereka yang tidak lulus, tempoh rayuan akan dibuka dari 3 hingga 15 Jun  melalui portal rasmi LHDN iaitu gkp.hasil.gov.my. Bagi perayu yang lulus, bayaran akan dibuat mulai 29 Jun. 

Dalam pada itu, Tengku Zafrul juga menyatakan di bawah skim kredit mikro BSN, 4,587 permohonan telah diluluskan, bernilai RM175 juta.

“Bagi program TEKUN pula, jumlah permohonan yang diluluskan ialah 15,949, dengan nilai RM128 juta,’ jelasnya.