POS Malaysia akan menilai semula misi syarikat daripada sekadar menghantar surat dan bungkusan kepada pusat e-dagang pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Perkhidmatan Pos, Pos Malaysia, Mohamed Rozaidi Md Sharif berkata, bersesuaian dengan tema sambutan Hari Pos Sedunia ke-50 iaitu Bukan Sekadar Mel, pihaknya berbangga dapat mempertahankan semangat melalui inovasi digital untuk meningkatkan pengalaman pelanggan.

“Kami juga akan terus memberikan sokongan yang cekap dan boleh dipercayai kepada pemain e-dagang dan mewujudkan peluang pekerjaan melalui program Pos Rider kami,” katanya, semalam.

Menurutnya, sebagai pengendali pos negara, Pos Malaysia mengalami banyak perubahan sejak penubuhannya pada tahun 1800-an.

“Dari operasi manual hingga automatik dan digital, Pos Malaysia terus berinovasi menggunakan teknologi baru untuk mengoptimumkan penyusunan, penghantaran dan memperbaiki rantaian bekalan kami dari langkah pertama pengiriman hingga tiba di tangan penerima,” katanya.

Hari Pos Sedunia disambut setiap tahun di seluruh dunia sejak tahun 1969, menandakan tonggak penting untuk perkhidmatan pos di seluruh dunia.

Sempena sambutan itu juga, Pos Malaysia melancarkan koleksi setem Inovasi Pos Malaysia.

Ia menampilkan tiga rekaan iaitu Mobile Post Office @ Pos-On-Wheels, Pos Automated Machines dan Pos Laju EziBox.