Jalil Rasheed memberitahu, PNB akan menulis surat pemegang saham tahunan kepada syarikat pelaburan strategik dan terasnya yang akan memperincikan penilaiannya mengenai prestasi operasi syarikat.

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) merancang untuk meningkatkan prestasi syarikat strategiknya dengan melancarkan Rangka Kerja Pengawasan yang menginstitusikan amalan terbaik tadbir urus.

Dalam sidang media maya mengenai Laporan Tahunan 2019 dan Pelan Strategik 2020-2022, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jalil Rasheed berkata memandangkan prestasi syarikat ini memberi impak yang ketara kepada pendapatannya, PNB akan giat melibatkan syarikat ini, menggalakkan tadbir urus korporat yang baik, dan melaksanakan hak pegangan saham melalui pengundian secara proksi.

Beliau berkata komponen utama untuk mencapainya termasuklah memastikan perancangan strategik mereka berjalan lancar, menggalakkan peruntukan modal berhemat yang akan memacu prestasi dalam jangka pendek hingga jangka sederhana, dan menambah baik akauntabiliti dengan mendorong syarikat untuk menerbitkan petunjuk prestasi utama mereka secara telus. 

“Kami mahu menjadi rakan kongsi dengan nilai tambah kepada syarikat pelaburan kami dan pemegang saham minoriti. Kami akan menyokong bagi pihak syarikat pelaburan kami dan menawarkan kepakaran.

“Bagi tujuan ini, Majlis Pelaburan Strategik (SIC) telah ditubuhkan, akan dipengerusikan oleh saya dan terdiri daripada semua CEO syarikat strategik kami,” katanya, sambil menambah SIC bertujuan menyelaraskan kepentingan dan mengurangkan pertindihan, dan menjadi saluran kepada semua untuk berkongsi amalan terbaik.

Jalil berkata PNB juga akan menulis surat pemegang saham tahunan kepada syarikat pelaburan strategik dan terasnya yang akan memperincikan penilaiannya mengenai prestasi operasi syarikat.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata bagi tahun kewangan 2019, aset di bawah pengurusan (AUM) PNB mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus tahun ke tahun kepada RM312 bilion manakala pendapatan bersih sebanyak RM10.7 bilion, menyumbang kepada pembayaran 5.4 sen seunit untuk dana harga tetap walaupun pulangan negatif enam peratus dalam FTSE Bursa Malaysia KLCI.

Beliau berkata ini berjumlah sebanyak RM13.2 bilion pengagihan pendapatan kepada 14.3 juta pemegang unitnya pada 2019.  

Mengenai masa depan, Zeti berkata pemulihan ekonomi global akan bergantung kepada cara dunia membendung pandemik COVID-19, keberkesanan pelaksanaan langkah-langkah dasar yang telah diperkenalkan, bagaimana selepas aktiviti ekonomi ditangguhkan diuruskan dan bila vaksin mungkin dibangunkan.

Dalam tempoh terdekat, katanya perniagaan amat terganggu, pendapatan terjejas, pengangguran dijangka meningkat dan pasaran kewangan amat tidak stabil. 

“Dalam keadaan kewangan dan ekonomi yang suram ini, terdapat ruang kepada optimisme. Walaupun kesukaran ekonomi untuk membendung penularan pandemik itu mungkin sengit dan luas, bagaimanapun ia hanya sementara.

“Aktiviti ekonomi dapat digerakkan semula selepas penangguhannya ditamatkan. Dalam masa terdekat, kemelesetan mungkin dirasai sebelum berlaku pemulihan.  Oleh itu, kita perlu melihat melebihi jangka masa terdekat,” katanya.

– BERNAMA