PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) menjangkakan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) tahun ini sedikit terjejas berikutan kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19 namun akan memastikan ia berada pada kadar kompetitif.

Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Jalil Rasheed berkata, sebagai pengurus dana, PNB akan mengambil langkah konservatif berdasarkan keadaan ekonomi semasa.

“Sehingga kini, kami berjaya mengagihkan pendapatan yang kompetitif untuk pelabur bagi semua 14 dana yang kami uruskan.

“Namun, dengan keadaan ekonomi di seluruh dunia yang terjejas akibat pandemik Covid-19 kami menjangka jumlah pendapatan akan sedikit terganggu,” katanya pada taklimat media yang julung kali diadakan secara maya, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz.

Menurutnya, bagaimanapun PNB mengambil langkah berbeza tahun ini dengan memperkenalkan Pelan Strategik bagi tahun 2020-2022 dikenali sebagai “Focus 4” bagi memacu organisasi ke hadapan untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Pelan ini telah dirangka berdasarkan hasil Kajian Semula Jangka Masa Pertengahan yang dilakukan pada tahun 2019 bagi Pelan Strategik 2017-2022 sebelumnya, yang dikenali sebagai STRIVE-15.

Jalil berkata, Focus 4 memberi keutamaan kepada empat perkara iaitu kepelbagaian, penciptaan nilai, pengurusan risiko dan transformasi organisasi.

Focus 4 juga akan menggunakan bidang berimpak tinggi yang lebih sesuai dengan perubahan persekitaran pasaran.

Sementara itu, Zeti berkata, PNB meletakkan sasaran utama untuk meningkatkan pendedahan global secara taktikal kepada 30 peratus menjelang 2022, berbanding pendedahan global semasa sebanyak 8.5 peratus pada akhir 2019.

PNB akan terus memacu kepelbagaian portfolio melalui pelaburan ke dalam kelas aset dan geografi baharu, termasuk peluang hartanah global dengan pulangan yang baik.

“Selaras dengan itu, bagi mengoptimumkan pulangan dalam persekitaran pulangan rendah berterusan, PNB terus meneliti semula porfolio dengan matlamat untuk melabur di kaunter-kaunter yang mampu memberikan prospektif pulangan dan potensi pulangan jangka panjang yang lebih baik, bagi mendorong penggunaan modal lebih efisien.

“Untuk jangka masa terdekat, ini termasuklah memanfaatkan prospek yang ditawarkan oleh “mispricing” pasaran semasa,” katanya.

Dalam keadaan ekonomi mencabar tahun lalu, PNB masih mampu mempertahankan perkembangan Aset di Bawah Pengurusannya, apabila berjaya mencapai RM312 bilion, melebihi tanda aras RM300 bilion.

Unit-unit dalam edaran meningkat kepada 7.3 peratus mencapai hampir 254 bilion pada tahun 2019.

PNB juga turut mengagihkan sejumlah RM13.2 bilion dalam bentuk pengagihan pendapatan dan bonus kepada pemegang unitnya pada tahun kajian, mencapai jumlah keseluruhan agihan pendapatan sebanyak RM200 bilion bagi kesemua 14 dana sejak penubuhan.

Zeti berkata, prestasi yang dicatatkan itu banyak didorong oleh pendekatan pelaburan yang berhemah selaras dengan kepelbagaian pelaburan terbaharu dalam kelas aset dan pasaran kewangan global baharu.

“Ekuiti awam antarabangsa menjana pulangan tertinggi, menyumbang kepada lebih dari 11.6 peratus kepada Pendapatan Kasar keseluruhan bagi tahun 2019, walaupun dengan pendedahan yang sedikit iaitu 5.9 peratus.

“Pendedahan global kami juga turut mencatatkan peningkatan dari 1.8 peratus atau RM4.7 bilion pada 2016, kepada 8.5 peratus atau RM26.4 bilion pada 2019,” katanya.