TOUCH ‘n Go eWallet dan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) mengumumkan kerjasama untuk membantu pesakit kurang berkemampuan yang berdepan kegagalan buah pinggang.

Melalui kerjasama ini, pengguna e-dompet berkenaan boleh membuat sumbangan melalui kod QR di laman rasmi NKF.

Ketua Pegawai Eksekutif, TNG Digital Sdn Bhd, Ignatius Ong berkata, Touch ‘n Go eWallet sentiasa mencari peluang untuk menyumbang semula kepada komuniti khususnya dalam kalangan mereka yang memerlukan.

“Antara kaedah yang kami lakukan adalah dengan menjadi pemudah cara orang ramai menyalurkan bantuan.

“Kami mahu memainkan peranan dalam usaha yang dilakukan NKF melalui platform kami yang memiliki 10 juta pengguna.

“Membolehkan penerimaan dana melalui platform kami bermakna NKF kini mempunyai akses kepada sumbangan orang ramai dengan lebih selamat dan pantas,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi NKF Malaysia, Datuk Dr Zaki Morad Mohamad Zaher berkata, pesakit buah pinggang perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

“Setiap tahun, NKF perlu mendapatkan dana berjumlah RM26.5 juta untuk membantu menampung kos rawatan 1,712 pesakit yang terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.