Kuala Lumpur: Dalam tempoh setahun sejak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerajui kabinet Perikatan Nasional (PN) untuk mentadbir kerajaan, pelbagai usaha, pendekatan dan langkah dilakukan bagi menjaga rakyat terutama golongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Kerajaan di bawah pentadbiran PN memberi tumpuan kepada usaha memastikan kebajikan semua golongan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana serta mikro (PKS), diberikan keutamaan teratas untuk mereka meneruskan kelangsungan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang bermula 18 Mac 2020.

Antara inisiatif yang diperkenalkan oleh pentadbiran pimpinan Muhyiddin ialah Program Subsidi Upah (PSU), yang membawa manfaat dan harapan untuk golongan usahawan dan perniagaan serta warga kerja mereka.

PSU adalah bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan bagi setiap pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah.

Ia bertujuan membantu majikan yang terkesan dari segi ekonomi akibat Covid-19 supaya dapat meneruskan operasi syarikat serta mengelakkan pekerja hilang pekerjaan dan punca pendapatan bagi semua perusahaan.

Setakat 15 Februari lalu, sejumlah RM13.53 bilion disalurkan di bawah tiga siri PSU kepada 327,908 majikan, sekali gus membantu mengekalkan 2.695 juta pekerjaan.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, inisiatif itu turut berperanan sebagai antara faktor penurunan kadar pengangguran ke tahap 4.8 peratus pada November 2020 dan Disember 2020 berbanding 5.3 peratus pada Mei 2020.

Sementara itu, pada 30 September 2020 – tarikh penamatan PSU 1.0 – sebanyak 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja sudah menerima manfaat di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Bagi PSU 2.0 di bawah Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin), sejumlah RM770.31 juta disalurkan kepada 65,398 majikan untuk membolehkan mereka terus beroperasi dan mengekalkan 534,183 pekerja.

Pemilik Taska Oren Enterprise, Norafizah Md Hassan antara yang memanfaatkan PSU di bawah Prihatin.

Beliau berkata, semua 42 pekerjanya yang berkhidmat di enam cawangan di Kuala Lumpur dan Selangor menerima manfaat daripada PSU itu yang dilaksanakan pada 1 April 2020.

“Apabila PKP bermula pada Mac tahun lepas, perolehan kami susut 50 peratus kerana sebilangan ibu bapa memilih untuk tidak menghantar anak ke pusat jagaan anak kami memandangkan mereka mula bekerja dari rumah ekoran pandemik Covid-19,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjelaskan syarikat itu menerima subsidi upah menerusi PSU 1.0, PSU 2.0 dan PSU 3.0 setelah memenuhi syarat di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selepas mencatatkan perolehan berkurangan 30 peratus atau lebih.

“Oleh itu, PSU banyak membantu kami dalam mengekalkan aliran tunai selain dapat mengekalkan pekerja dan tidak melaksanakan pemotongan gaji,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Onbaza.com, Muhammad Hazwani Ahmad berkata, PSU membantu mengurangkan kos operasi syarikat susulan penjualannya merosot semasa tempoh pandemik.

“Jualan kami merosot 90 peratus semasa pandemik dan PKP. Oleh itu, program ini dapat membantu kewangan dan operasi syarikat bertahan lebih lama selain kami menggunakan pelbagai sumber untuk menambah pendapatan syarikat,” katanya.

Beliau berkata lima pekerja Onbaza.com – platform perkhidmatan penghantaran – menerima manfaat PSU 1.0 dan 2.0, malah pada masa yang sama syarikat masih menunggu status permohonan bagi PSU 3.0.