Alor Setar: Penggiat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan terutama PKS mikro diminta beralih kepada aktiviti jualan dalam talian sebagai antara usaha pemulihan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan sentiasa menggalakkan penggiat PKS yang terjejas kembali bangkit pada tahun ini kerana 70 peratus peluang pekerjaan di negara ditawarkan industri berkaitannya.

Jelasnya, sejak PKP dilaksana pada Mac tahun lalu, pihaknya mendapati berlaku peningkatan dalam aktiviti jualan dalam talian berikutan pengguna tidak dapat keluar membeli belah.

“Jualan dalam talian meningkat mendadak sejak Mac tahun lalu, menyebabkan kita tidak mahu PKS terutama PKS mikro tertinggal dan mereka juga perlu berani berubah serta berniaga secara dalam talian.

“Banyak pakej bantuan ekonomi yang diumumkan kerajaan juga terus fokus membantu PKS kerana kita sedar mereka menyumbang kira-kira 30 peratus Kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK) dan paling penting terdapat 70 peratus pekerjaan di dalam bidang ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Program Digital Pekan Rabu yang bakal memberi peluang kepada 300 usahawan PKS mempertingkatkan jualan dengan bantuan dan sokongan Kumpulan Telekom Malaysia (TM).

Yang turut hadir Penerangan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Wan Romani Wan Salim; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar dan Pengerusi Koperasi Pekan Rabu, Ridhuwan Mustafa.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga akan terus memperkasa sektor yang terjejas akibat pelaksanaan PKP antaranya pelancongan dan peruncitan susulan pembukaan kembali hampir 80 peratus sektor ekonomi lain.

Sementara itu, Imri menjelaskan Kumpulan TM akan menyediakan kemudahan wifi percuma selama setahun kepada peniaga di Pekan Rabu dan melatih mereka menggunakan aplikasi perdagangan dalam talian.

“Kemudahan wifi berkelajuan sehingga 800 megabit per saat adalah khusus membantu usahawan dan PKS di Pekan Rabu meningkatkan kemahiran mereka dalam aktiviti perniagaan baharu.

“Ketika berada di kedai, peniaga boleh menggunakan aplikasi perdagangan bagi mengambil tempahan dan juga menjual produk mereka kepada pelanggan di seluruh negara,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19