PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) di negara ini digesa meneruskan perjalanan transformasi digital mereka meskipun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Pengarah Urusan Kumpulan Genaxis, Nuraslina Zainal Abidin berkata, ada kemungkinan PKS mula mengetepikan transformasi digital untuk perniagaan masing-masing.

Beliau berkata, ia memandangkan sektor perniagaan dijangka kembali beroperasi seperti biasa tidak lama lagi seperti sebelum pandemik Covid-19.

Oleh itu, Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif IA Consulting Sdn Bhd (iAC) berharap PKS lebih mendalami digitalisasi dan melihatnya sebagai langkah penting yang dapat meningkatkan daya tahan perniagaan dan produktiviti.

“Ada kemungkinan PKS tidak memahami sepenuhnya kepentingan transformasi digital di mana langkah pertama yang kecil perlu diambil mereka adalah dengan melaksanakannya.

“Pemantauan kami mendapati rata-rata syarikat besar sama sekali tidak melengahkan usaha transformasi digital. Malah, selepas PKP berakhir, mereka menyegerakan inisiatif digitalisasi di mana tempoh kebiasaan lima tahun yang diperuntukkan untuk tujuan ini dipendekkan kepada tiga tahun,” katanya.

Menurut Nuraslina, syarikat yang meneruskan transformasi digital perlu memberi tumpuan kepada meningkatkan pengalaman pelanggan di setiap platform digital yang disediakan.

Ini katanya, bagi memanfaatkan normal baru di mana pelanggan beralih ke platform mudah alih atau Internet untuk membuat pembelian.

Beliau berkata, ia tentunya memberi keuntungan kepada PKS dari segi jumlah pelanggan yang lebih banyak di samping mengurangkan kos operasi.

“Untuk PKS mengadaptasi digitalisasi perniagaan, mereka haruslah terlebih dulu memahami keutamaan perniagaan yang memerlukan digitalisasi.

“Ia sama ada untuk membantu mengurangkan kos operasi, mendapatkan pelanggan baru, melancarkan produk atau perkhidmatan baru, atau mengoptimumkan sumber,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan