TENGKU ZAFRUL: Lebih cepat kita tangani krisis COVID-19 ini, lebih cepat kita dapat membangunkan semula ekonomi negara ini. – Astro AWANI/SHAHIR OMAR

KLANG: Kementerian Kewangan menjangkakan ekonomi Malaysia turun lebih daripada -2 peratus tahun ini akibat kesan penularan wabak COVID-19

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menjangkakan penurunan tersebut diakibatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.

“Pada April, Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjur ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar antara -2 peratus hingga 0.5 peratus pada tahun ini pada April.

“Itu berdasarkan PKP selama dua minggu tetapi PKP telah dilanjutkan lebih daripada 2 minggu, kami rasa ekonomi akan turun lebih daripada -2 peratus,” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan kerja ke Wisma Kastam Pelabuhan Klang pada Khamis.

Bagaimanapun, beliau berkata segalanya bergantung kepada usaha kerajaan dalam menangani pandemic COVID-19.

Beliau berharap pembukaan semula ekonomi sejak 4 Mei lalu mampu menjana semula ekonomi negara.

“Sektor ekonomi sudah dbuka secara beransur-ansur sejak pelaksanaan PKP fasa pertama.

“Ia bergantung kepada cara kita menangani COVID-19 ini.

“Lebih cepat kita tangani krisis COVID-19 ini, lebih cepat kita dapat membangunkan semula ekonomi negara ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata penguncupan ekonomi ini tidak akan menjejaskan pelan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

“RMK-12 tidak akan terjejas tetapi perancangan Belanjawan 2021 yang akan diumumkan pada Oktober atau November ini mesti mengambil kira faktor ekonomi semasa,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata kerajaan masih belum menentukan jumlah peruntukan untuk Belanjawan 2021.

Sebelum ini, Belanjawan 2020 disandarkan pada harga minyak sebanyak AS$65 setong.