Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) mengumumkan pindaan Akta Koperasi 1993 (Akta 502) kepada Akta Koperasi (Pindaan) 2021 (A1634) yang mula dikuatkuasakan hari ini.

Akta A1634 ini akan terpakai bagi semua koperasi yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Pindaan kepada Akta 502 ini diluluskan di Dewan Rakyat pada 17 Disember 2020 dan Dewan Negara pada 29 Disember 2020.

Akta A1634 ini juga sudah mendapat perkenan diraja pada 26 Januari 2021 serta diwartakan pada 2 Februari 2021.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tindakan pindaan akta ini dibuat bertepatan dengan sasaran sumbangan perolehan koperasi kepada ekonomi negara berjumlah RM100 bilion menjelang 2030.

“Pindaan ini membabitkan sembilan peruntukan dalam Akta 502 yang dilihat akan memberi impak positif kepada masyarakat khususnya gerakan koperasi.

“Secara dasarnya, ia dilihat selaras dengan polisi kerajaan semasa supaya operasi perniagaan koperasi pada masa ini lebih mudah dan memastikan koperasi yang didaftarkan adalah berkualiti.

“Tindakan pindaan akta ini dibuat bertepatan dengan sasaran sumbangan perolehan koperasi kepada ekonomi negara berjumlah RM100 bilion menjelang 2030.

“Secara tidak langsung sektor koperasi dilihat sebagai instrumen utama untuk melonjakkan keusahawanan dalam kalangan golongan isi rumah berpendapatan rendah atau B40,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, antara pindaan utama yang dibuat adalah berkaitan syarat bagi pendaftaran koperasi asas yang dipermudahkan di mana bilangan individu bagi tujuan pendaftaran, dikurangkan daripada 50 orang kepada 20 orang sahaja.

Menurutnya, hal ini sangat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan golongan B40 terutamanya, menceburi aktiviti perniagaan melalui koperasi di samping dapat memasyarakatkan gerakan koperasi berdasarkan kumpulan sasar seperti golongan belia, wanita, komuniti, mahupun masyarakat pribumi seperti Orang Asli.

Selain itu, pindaan yang dibuat ini turut membenarkan atau memudahkan lagi koperasi untuk menerima pembiayaan daripada mana-mana institusi kewangan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia dan koperasi yang ditentukan oleh SKM tanpa perlu mendapatkan kelulusan SKM terlebih dahulu seperti sebelum ini.

Pindaan kepada Akta 502 ini juga selari dengan Bidang Tujahan ke-2, Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (Transkom) 2021 hingga 2025 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.