MALAYSIA terus mengekalkan kedudukan sebagai destinasi keenam pilihan pembeli hartanah China untuk tahun kedua berturut-turut.

Menurut laporan 10 negara pilihan pembeli China bagi 2019 oleh Juwai IQI, Malaysia juga terbukti lebih popular berbanding United Kingdom (tempat ketujuh), Vietnam (8) dan Singapura (ke-11).

Pengerusi Eksekutif Juwai IQI berpangkalan di Kuala Lumpur, Georg Chmiel berkata, lima destinasi utama yang menjadi pilihan mereka adalah Thailand, Australia, Jepun, Amerika Syarikat dan Kanada.

“Data itu berdasarkan pertanyaan bagi pembelian hartanah di lebih 90 negara yang juga mewakili lebih 3.3 juta pengunjung dari China,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, Malaysia telah lama menjadi pilihan pelaburan utama bagi pembeli China berikutan mempunyai taraf hidup yang berpatutan, berkualiti, kemudahan perubatan dan akses terhadap institusi pendidikan.

Malah, katanya, ini turut berkait rapat dengan syarat-syarat menarik Skim Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H) yang menjadikan negara ini antara destinasi terbaik untuk didiami.

Pada 2018, harga rumah purata di Malaysia adalah RM416,993 (US$100,685) yang disifatkan sebagai berpatutan dan menarik berbanding negara-negara lain di Asia dan kawasan lain.

“Kaji selidik The Expat Insider 2019 menunjukkan kalangan ekspatriat di Malaysia secara amnya berpuas hati dengan kos taraf hidup yang berpatutan di negara ini selain berasa mudah untuk tinggal di sini.

“Program seperti MM2H telah menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan persaraan yang popular.

“Malaysia juga popular bagi rakyat China yang meliputi 30 peratus daripada lebih 42,000 permohonan yang diluluskan untuk tempoh 2012 hingga 2018,” katanya.

Chmiel berkata, laporan itu juga menunjukkan bahawa pertanyaan pembeli China terhadap hartanah kediaman di Malaysia meningkat sebanyak 40.2 peratus pada 2019 berbanding 2018.

Lima lokasi pilihan utama pembeli China adalah Kuala Lumpur, Johor Bahru, Melaka, Kota Kinabalu dan Shah Alam.

Kuala Lumpur menjadi pilihan utama berikutan mempunyai tawaran jumlah hartanah terbesar selain pasaran pembangunan baharu.