Kuala Lumpur: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) terus optimis terhadap potensi minyak dan gas yang kukuh dan sentiasa berusaha untuk mewujudkan situasi pelaburan kondusif.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, syarikat minyak nasional itu kini mempunyai 13 blok yang ditawarkan dalam Pusingan Bidaan Malaysia 2021 yang dilancarkan baru-baru ini.

Beliau berkata pusingan bidaan itu merangkumi tawaran blok yang inovatif, pilihan bidaan yang fleksibel, tempoh eksplorasi dua fasa serta akses dan ketelusan data.

“Dengan lebih 20 bilion tong minyak belum ditemui, Malaysia menawarkan landasan rizab yang berpotensi besar,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Teknologi Petroleum Antarabangsa (IPTC) Ke-13 secara maya, semalam.

Tengku Muhammad Taufik berkata, Petronas mengumumkan hasratnya untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 pada tahun lalu, aspirasi yang diyakini akan memastikan kumpulan berada di landasan untuk menjadi rakan tenaga dan penyelesaian yang progresif meningkatkan kehidupan untuk masa depan yang lestari.

Beliau berkata, syarikat minyak nasional itu bergerak ke hadapan dalam landasan pemulihan dengan menjadikan teknologi sebagai instrumen yang membolehkan perbezaan dibuat, digitalisasi pemacu dan data sebagai asetnya serta elemen ini akan memainkan peranan penting dalam memberikan pandangan untuk membangunkan operasi dengan lebih cekap, berhemat dan kemas.

Bagi memenuhi permintaan terhadap tenaga yang semakin meningkat, Tengku Muhammad Taufik berkata Petronas kini perlu membangunkan dan melaksanakan pelbagai bentuk tenaga dan teknologi.

“Tenaga boleh diperbaharui sahaja tidak akan dapat memenuhi permintaan terhadap tenaga yang semakin meningkat dengan pertumbuhan penduduk dan ekonomi yang berkembang, kami menjangka untuk menyaksikan pasca pemulihan, terutamanya di Asia. Terdapat masalah yang perlu diselesaikan dengan kemajuan teknologi bateri,” katanya.